Isnin, 25 Januari 2010

Fathi Aris Omar dilantik ketua pengarang Malaysiakini

MALAYSIA KINI



Malaysiakini hari ini mengumumkan pelantikan Fathi Aris Omar sebagai ketua pengarang yang baru.

Fathi, 41, menggantikan K Kabilan yang berhenti untuk melanjutkan pelajarannya.

Kabilan, 41, yang menyertai Malaysiakini pada 2000, dilantik sebagai ketua pengarang empat tahun lalu, ketika negara sedang melalui perubahan besar.

"Selama 10 tahun saya bersama Malaysiakini dan menimba pelbagai pengalaman. Kini tiba masanya untuk saya meneruskan langkah bagi menghadapi cabaran-cabaran lain pula, termasuk menumpukan masa melanjut pengajian," katanya.

"Saya yakin Fathi dan pasukan yang baru, mampu memastikan Malaysiakini akan terus kekal sebagai peneraju," katanya.

Fathi menyertai Malaysiakini sebagai editor Bahasa Malaysia (BM) 10 tahun lalu.

Pada 2005, beliau mendapat biasiswa Yayasan Nippon untuk menjalankan penyelidakan mengenai politik Islam selama setahun di Indonesia.

Sekembalinya ke Malaysia, beliau menyertai bahagian BM di Star Online. Fathi menyertai semula Malaysiakini dua tahun lalu untuk meneruskan tugas lamanya sebagai pengarang berita.

Ketua pengarang kumpulan dan juga pengasas bersama Malaysiakini, Steven Gan menyifatkan pemilihan Fathi untuk menerajui laman berita tersebut sebagai sesuatu yang 'semula jadi'.

"Fathi adalah salah seorang editor dalam pasukan asal Malaysiakini. Beliau akan menerajui Malaysiakini ketika kami melangkah masuk ke dekad kedua, dan saya akan bersama beliau untuk memperkukuhkan lagi misi Malaysiakini," katanya.

Sementara itu, Fathi berkata, tidak seperti di awal operasinya, Malaysiakini kini berdepan dengan tahun-tahun yang lebih mencabar dan menarik sertai lebih banyak saingan.

"Malaysiakini perlu mengeksploitasi 'mediascape' yang baru bagi mencapai seramai mungkin pembaca," katanya.

Sementara itu, Steven juga menyatakan penghargaan yang tidak terhingga kepada Kabilan di atas sumbangan besarnya selama bersama dengan Malaysiakini.

Steven juga turut mengumumkan bekas editor eksekutif berita dan halehwal semasa TV3, Wee Yu Meng kini memegang jawatan pengarang berita BM. Beliau akan membantu editor BM, Nash Rahman.

Manakala Jimadie Shah Othman dilantik sebagai ketua pemberita meja BM.

Andrew Ong pula dilantik sebagai pemangku pengarang berita meja bahasa Inggeris, manakala wartawan kanan Hafiz Yatim dilantik sebagai ketua pemberitanya yang baru.

Meja bahasa Cina kekal diterajui oleh pengarangnya Yong Kai Ping dan pengarang berita, Ng Ling Fong.

Tiada ulasan: