Oleh: WFAUZDIN NS
KEMELUT di PMBK masih belum berkesudahan. Siasatan oleh SPRM terhadap perbadanan di bawah MB Kelantan ini mungkin masih berjalan dan belum ternampak oleh kita samada berlaku sebarang penyelewengan atau tidak di dalam pengurusan PMBK. Apa yang kita nampak setakat ini adalah terpelantingnya seorang kakitangan PMBK merangkap blogger yang bergelar Kickdefella. Dikatakan Kickdefella adalah orang kuat kepada YB Husam Musa seorang Exco yang memegang jawatan penting di dalam kerajaan Negeri Kelantan.
Belum selesai siasatan di PMBK, belum ada sebarang tangkapan atau tahanan terhadap mana-mana kakitangan PMBK oleh SPRM, heboh satu dunia mahu agar CEO PMBK Arif Fahmi menantu kepada Tok Guru Nik Aziz meletakkan jawatan. Kononnya Arif Fahmi banyak mencemarkan nama baik MB Kelantan yang juga Bapa Mertuanya itu. Apa yang Arif Fahmi cemarkan itu? Memecat Kickdefella bolehkah dianggap mencemarkan imej Tok Guru Nik Aziz selaku MB Kelantan? Adakah menantunya itu gagal di dalam melaksanakan tugas atau pun mempunyai rekod yang buruk sebelum ini? Jika disabitkan dengan rasuah atau pun pecah amanah serta penyelewengan di dalam menguruskan PMBK, memang wajib beliau ditendang keluar dari PMBK bahkan wajib didakwa. Sebab apa Arif Fahmi mesti dikeluarkan dari PMBK?
Adakah kerana Arif Fahmi itu menantu kepada MB Kelantan maka beliau tidak layak menguruskan perbadanan penting itu? Sebagai menantu kepada MB, apakah beliau tidak layak untuk membantu bapanya mengkayakan ekonomi negeri Kelantan? Berapa banyak harta PMBK yang dilesapkan oleh Arif Fahmi? Saya menjadi pelik dengan mereka yang beriya-iya sangat mahukan Arif Fahmi dipecat dari PMBK. Mengapa tidak menunggu terlebih dahulu hasil siasatan SPRM terhadap PMBK sebelum kita menilai Arif Fahmi layak atau tidak berada di PMBK? Bukankah sudah berjela-jela kononnya bukti yang didedahkan oleh Kickdefella tentang salah laku Arif Fahmi, cuma kita menunggu benar atau tidak dakwaan Kickdefella itu setelah SPRM selesai menjalankan siasatannya. Jika benar dan dapat dibuktikan, saya amat bersetuju jika Arif Fahmi dipecat dan diambil tindakan. Tetapi, jika didapati tidak benar, maka zalim untuk kita menganiayai beliau dengan mendesaknya meletakkan jawatan.
Saya percaya sekiranya didapati tiada sebarang kes untuk mendakwa Arif Fahmi, mereka ini akan terus mendesak Arif Fahmi meletakkan jawatan sebagai CEO PMBK atas alasan yang lain pula. Maka akan timbul lah dakwaan kononnya MB Kelantan itu mengamalkan kronisma. Kononnya untuk memulihkan imej Tok Guru Nik Aziz, Arif Fahmi mesti meletakkan jawatan. Semenjak bila imej Tok Guru Nik Aziz tercemar sehinggakan menantunya dijadikan kambing hitam? Apakah selama ini imej Tok Guru Nik Aziz bergantung kepada menantunya?
Arif Fahmi tidak perlu meletakkan jawatan sekiranya beliau tidak melakukan kesalahan dan mampu menguruskan PMBK dengan baik dan telus. Pedulikan apa orang lain kata selagi beliau ikhlas berkhidmat. Jika benar Arif Fahmi banyak mencemarkan nama baik Tok Guru Nik Aziz, sudah lama PAS tersungkur di Kelantan kerana bukan baru-baru ini Arif Fahmi menjadi menantu Tok Guru Nik Aziz atau menjadi CEO PMBK. Sebenarnya saya melihat seperti ada udang di sebalik batu yang mendesak dan menekan MB Kelantan untuk menyingkirkan Arif Fahmi.
Tumpuan sekarang bukan terhadap siasatan SPRM, tetapi lebih tertumpu kepada siapakah yang akan dilantik menggantikan Arif Fahmi sekiranya kehendak mereka dituruti oleh MB Kelantan. Samada SPRM dapat membuktikan ada atau tidak berlaku penyelewengan di dalam PMBK tidak penting bagi mereka. Yang penting Arif Fahmi mesti berundur, itulah kehendak mereka. Sebab apa perlu berundur, Wallahu Aklam./Kembali ke laman asal
Tiada ulasan:
Catat Ulasan