BERNAMA
SEMPORNA: Pemimpin-pemimpin Umno di semua peringkat diingatkan supaya tidak menyekat mana-mana golongan muda dan profesional daripada menyertai parti.
Naib presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pemimpin-pemimpin Umno sebaliknya perlu menggalakkan penyertaan golongan ini kerana kehadiran mereka akan membawa banyak manfaat kepada parti dan negara dalam jangka masa panjang.
Beliau berkata pindaan perlembagaan Umno baru-baru ini mempermudahkan lagi permohonan mana-mana pihak menganggotai parti, di mana seseorang itu hanya perlu mendapatkan tanda tangan ketua Umno bahagian, pemuda wanita dan puteri untuk menjadi anggota.
"Jika ada sekatan yang menghalang mana-mana pihak yang nak masuk Umno di mana-mana cawangan, mereka diminta menghantar borang permohonan terus ke ibu pejabat supaya proses urusan keanggotaan dapat dipercepatkan," katanya selepas menghadiri program bersama rakyat di sini hari ini.
Shafie berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas perdana menteri yang juga bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang mendakwa ada cawangan Umno yang menyekat golongan muda daripada menyertai parti itu di peringkat cawangan. Menurut Dr Mahathir, pemimpin cawangan berkenaan berbuat demikian kerana takut kemasukan golongan muda dan profesional akan menggugat kedudukan mereka dalam parti di peringkat cawangan.
Shafie yang juga pengerusi Jawatankuasa Pendaftaran dan Penambahan Anggota Umno berkata pemimpin Umno perlu mengubah persepsi berkenaan dan memberi keutamaan kepada kepentingan parti dan negara.
Beliau seterusnya mengingatkan pemimpin Umno supaya tidak menjadikan ancaman kedudukan dalam parti sebagai alasan bagi menyekat golongan muda dan profesional menyertai parti kerana ia akan merugikan Umno sendiri.
Menurutnya jika kepimpinan peringkat bahagian dan cawangan sentiasa bekerja keras menjalankan kerja-kerja parti, mereka tidak perlu gusar akan kehilangan jawatan kerana anggota akan terus menyokong mereka.
Shafie berkata satu mesyuarat Jawatankuasa Pendafataran dan Penambahan Anggota akan diadakan pada 17 Disember ini yang melibatkan wakil-wakil Umno negeri bagi membincangkan perkara mengenai usaha menambah anggota Umno.
Katanya parti itu akan cuba menarik lebih ramai golongan muda dan profesional dari sektor swasta malah anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menjadi anggota Umno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan