Ahad, 1 November 2009

Remaja jatuh flat parah tetapi stabil

UTUSAN ONLINE


PULAU PINANG - Seorang remaja lelaki terselamat daripada maut walaupun selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah rumah flat di Padang Tembak di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 10 malam itu, Mohamad Rozilan Mydin, 16, yang tinggal di kawasan perumahan lain telah pergi ke rumah bapa saudaranya di tingkat enam flat berkenaan.

Remaja terbabit kemudian bermain-main bersama sepupunya dan beberapa orang kawan di sebuah rumah kosong di tingkat tujuh bangunan itu sebelum dia tiba-tiba terjatuh melalui tingkap di unit tersebut.

Ekoran kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan yang serius di beberapa bahagian badannya dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan. Keadaannya kini dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu polis telah menahan dua orang termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan.

"Kita telah menahan mereka ini kerana mengikut laporan, kedua-duanya berada bersama mangsa semasa insiden tersebut dan polis sedang menyiasat bagaimana kejadian ini berlaku," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 19 tahun mati lemas selepas dipercayai terjatuh akibat tergelincir dari Jambatan Pulau Pinang di sini.

Mangsa, Lim Chee Keong, seorang pekerja swasta ditemui terapung di kawasan jeti nelayan di Lebuh Raya Jelutong di sini kira-kira pada pukul 10 pagi.

Difahamkan, kali terakhir mangsa dilihat ketika meninggalkan tempat kerja dengan menaiki motosikal untuk bertemu keluarganya bagi menghadiri jamuan makan malam.

Keluarga mangsa mula mencarinya selepas dia tidak muncul pada majlis makan malam itu dan kemudian menemui motosikalnya ditinggalkan di atas Jambatan Pulau Pinang menghala ke pulau.

Tiada ulasan: