Sabtu, 14 November 2009

Kabinet Arah Kontraktor Asal Baiki Semula Bumbung Stadium Runtuh

BERNAMA


KUALA TERENGGANU: Kerajaan memutuskan pihak kontraktor bertanggungjawab membaiki semula dan membaik-pulih struktur bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMZA) di Gong Badak yang runtuh Jun lalu.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata semua kos untuk kerja-kerja baik pulih itu dipertanggungjawabkan kepada kontraktor asal kerana stadium berkenaan masih dalam tempoh jaminan mereka.

"Kertas siasatan mengenai kejadian itu termasuk puncanya telah dibentang dalam mesyuarat pasca-kabinet 6 November lalu dan kabinet mengarahkan pihak kontraktor membaiki semula stadium berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menutup Konvensyen Halatuju dan Wawasan Gerakan Belia 4B(M) negeri Terengganu di sini, pada Sabtu.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas butiran mengenai kos, tempoh yang ditetapkan untuk kerja-kerja baik pulih tersebut atau bentuk bumbung sama ada menyamai rekaan asal atau sebaliknya, kerana ia terletak di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Biarlah pihak JKR yang jelaskan mengenai perkara itu, tetapi kita berharap ia dapat dimulakan secepat mungkin dan stadium itu dapat digunakan kembali dalam masa terdekat demi kepentingan perkembangan sukan di negeri ini," katanya.

Stadium berkenaan yang menelan kos hampir RM300 juta siap dibina pada Mei tahun lepas untuk temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-12, runtuh di bahagian bumbung utama sebelah timur yang menempatkan tempat duduk awam dan tetamu diraja pada 2 Jun lalu.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian itu.

Ahmad Shabery sebelum itu menghadiri Program Larian 1Malaysia sejauh tiga kilometer di Pantai Batu Buruk di sini, yang turut disertai lebih 5,000 peserta.

Tiada ulasan: