BERNAMA
Kementerian Kesihatan meminta agar orang ramai tidak bimbang atau ragu dengan keupayaan ubat antivirus dan vaksin influenza A (H1N1) yang sedang digunakan pada masa ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata meskipun terdapat beberapa kejadian mutasi virus itu telah dilaporkan, ubat antivirus dan vaksin influenza A (H1N1) masih sesuai dan berupaya untuk merawat serta mencegah jangkitan virus itu.
"Orang ramai tidak perlu risau mengenai perkara ini dan diseru untuk terus mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
NONESementara itu, beliau berkata pada musim cuti ini, banyak penduduk Malaysia akan balik kampung atau melancong sama ada di dalam atau luar negara.
Justeru, katanya, orang ramai yang mengalami gejala penyakit seakan-akan influenza (ILI) diminta agar tinggal di rumah atau menangguhkan perjalanan buat sementara sehingga satu hari selepas tiada lagi gejala berkenaan.
"Jika ada mereka yang mengalami gejala ILI semasa berada di luar negara, mereka diminta mengamalkan beberapa langkah seperti mendapatkan rawatan di klinik berdekatan, kerap basuh tangan dengan air bersih dan sabun atau bahan pencuci berasaskan alkohol serta adab batuk yang betul menggunakan sapu tangan atau tisu," katanya.
Bagi mereka yang mengalami gejala ILI selepas kembali dari bercuti terutamanya dari negara-negara di hemisfera utara, Dr Mohd Ismail menasihatkan mereka supaya mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berdekatan dengan segera.
Sehingga hari ini, tiada kematian baru dilaporkan dan jumlah kematian akibat influenza A (H1N1) di negara ini kekal seramai 77 orang, manakala hanya 13 pesakit atau tiga peratus daripada 391 kes disahkan positif H1N1.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan