Ahad, 1 Februari 2009

NGO sokong kerajaan tolak LCCT Labu

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong penuh langkah kerajaan menolak cadangan pembinaan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Labu, Negeri Sembilan kerana ia tidak sesuai dilaksanakan dalam situasi kegawatan ekonomi dunia sekarang.

Menurut mereka, langkah kerajaan itu adalah tepat memandang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang masih mempunyai banyak ruang kosong bagi pembinaan sebuah lagi LCCT baru dengan kos pembinaan yang lebih murah.

Pengarah Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, pembinaan LCCT di Labu hanya akan mewujudkan pertindihan fungsi dengan KLIA yang kini merupakan hab pengangkutan udara utama negara.

Beliau berkata, dengan mengekalkan LCCT di KLIA, ia memudahkan pihak polis, imigresen dan bomba melakukan penyelarasan bagi mengawal kemudahan berkenaan tanpa perlu meletakkan anggota di dua tempat berlainan.

‘‘Saya berharap semua pihak mengikut pelan asal iaitu operasi pengangkutan udara utama negara hanya di KLIA sahaja,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini bahawa kerajaan menolak cadangan AirAsia Bhd. (AirAsia) untuk membina sebuah LCCT berharga RM1.6 bilion di Labu.

Sebaliknya, Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) diberi tanggungjawab membina sebuah LCCT yang baru, berdekatan terminal sekarang di KLIA.

Berikutan langkah itu, AirAsia berjaya mendapat jaminan mengenai caj dan cukai lapangan terbang lebih rendah yang akan dikenakan terhadapnya dan turut dibenarkan memberi input mengenai spesifikasi LCCT baru itu.

Noor Nirwandy berkata, keputusan itu membuktikan kerajaan komited untuk mengambil langkah penjimatan wang dalam suasana krisis ekonomi dunia sekarang.

Tiada ulasan: