Rabu, 25 Februari 2009

Kes liwat Anwar: Pihak pembelaan tarik balik permohonan gugurkan Yusof

Oleh ZANARIAH ABDUL MUTALIB
[DIKEMAS KINI]


KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan hari ini menarik semula permohonan untuk menggugurkan Ketua Pendakwaraya, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden daripada mengambil bahagian dalam perbicaraan kes liwat, Penasihat Parti Keadilan Rakyat(PKR),Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pihak pembelaan, Sulaiman Abdullah berkata, Mohd Yusof telah menghantar afidavit yang membuat perakuan bahawa beliau (Yusof) tidak mempunyai kertas siasatan insiden mata lebam Anwar walaupun beliau menggangotai Suruhanjaya Diraja menyiasat insiden tersebut.

Mahkamah mula bersidang pada pukul 10.10 pagi tadi.

Bagaimanapun, Anwar tidak hadir ke mahkamah hari ini.

Minggu lalu, Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh mengemukakan notis bantahan di Mahkamah Tinggi, supaya Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan menarik diri daripada semua prosiding membabitkan kes liwatnya.

Anwar melalui peguamnya, Sulaiman Abdullah membuat permohonan itu untuk mengenepikan kelayakan Mohamed Yusof dengan alasan beliau adalah pegawai dari Pejabat Peguam Negara yang terbabit dalam Suruhanjaya Siasatan berhubung insiden mata lebam Anwar pada 1998.

Sulaiman berkata, beliau baru saja menerima arahan daripada anak guamnya untuk membuat permohonan supaya Mohamed Yusof menarik diri daripada prosiding kes itu.

Mohamed Yusof bagaimanapun berkata, beliau memerlukan masa untuk memasukkan hujahan bertulisnya berserta afidavit sokongannya terhadap permohonan Anwar.

Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan tiga hari bermula 25 Februari ini untuk hujahan berhubung permohonan itu daripada kedua-dua pihak.

Mohamad Zabidin juga menetapkan hujahan permohonan semakan pihak pendakwaan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen tidak membenarkan kes liwat Anwar dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, dikemukakan sebaik saja hujahan permohonan supaya Mohamed Yusof menarik diri selesai.

Anwar, 61, didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap Mohd Saiful, 23, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini, antara jam 3.01 dan 4.30 petang, 26 Jun lalu.

Tiada ulasan: