Khamis, 26 Februari 2009

TLDM guna kapal 'second hand' Amerika usia 25 tahun

Azamin Amin


KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD Sri Inderapura merupakan sebuah kapal perang 'second-hand' milik Amerika Syarikat yang telah diguna selama 25 tahun oleh negara tersebut.

Dato' Wira Abu Seman Yusop (BN-Masjid Tanah) memberitahu bahawa kapal tersebut telah digunakan oleh TLDM semenjak 16 Disember 1994 dengan harga pembelian berjumlah RM53 juta.

"Kos membaik pulih pula berjumlah RM54.4 juta yang dilakukan di Limbungan di Johor pada 2 Februari 2000," katanya ketika menjawab soalan Ustaz Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) pagi tadi di Dewan Rakyat.

Sebelum mengungkap soalan tambahan Ustaz Nasharudin juga memberitahu bahawa kapal yang siap dibina pada 7 Februari 1970 di National Steel & Ship Buliding di San Diego, California dilancarkan pada 7 November 1970 atas nama USS Button Buck County LST 1192 dan dibeli oleh Kementerian Pertahanan di bawah satu program dikenali sebagai' Security Assistant Program'

"Apakah lain-lain perjanjian persefahaman di bawah 'Security Assistant Program' bersama Amerika Syarikat ini.

"Dan adakah adakah pembelian persenjataan daripada Amerika ini akan diteruskan di sebalik apa yang berlaku dalam dunia politik antarabangsa dalam keadaan sikap dan keadaan yang ditunjukkan oleh Amerika terhadap insiden-insiden yang berlaku?" tanya Ustaz Nasharudin yang juga Timbalan Presiden PAS itu.

Namun soalan serius beliau dijawab sambil lewa oleh Wira yang juga Timbalan Menteri Pertahanan bahawa setakat ini tidak ada perancangan pembelian dan sekiranya ada keperluan barulah kementerian akan membuat pembelian.

Ketika itu, bingkas Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang mengemuka soalan kewajaran serta faedah membeli kapal 'second-hand' dan adakah ianya selamat digunakan.

"Dari segi kosnya ianya 'menguntungkan'... ianya masih selamat digunakan di Eden dan menjadi 'escort' kapal-kapal Malaysia yang berlayar di Eden," katanya.

Perkataan 'menguntungkan' telah mencetuskan pelbagai sorakan dan 'suara-suara' sinis ahli-ahli parlimen di Dewan Rakyat termasuk daripada BN sendiri. - mks. _

Tiada ulasan: