Isnin, 23 Februari 2009

Zambry nafi dapatkan khidmat Peguam Diraja dari Britain

MSTAR ONLINE


IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir hari ini menafikan laporan media bahawa beliau akan mendapatkan khidmat nasihat Peguam Diraja dari Britain dalam menyelesaikan krisis perlembagaan negeri itu.

Kata beliau, soal mendapatkan pandangan kedua daripada Peguam Diraja tidak timbul kerana segala-galanya diserahkan kepada peguam tempatan.

"Kita menafikan bahawa ada kita dapatkan (khidmat Peguam Diraja)... yang pentingnya pasukan peguam kita ialah daripada pasukan peguam tempatan... soal dia orang nak Peguam Diraja ke sesiapa ke, itu soal-soal yang di luar daripada lingkungan dan bidang kuasa yang saya berikan kepada mereka... dan yang pentingnya pasukan peguam itu terdiri daripada pasukan peguam yang kita lantik daripada kalangan tempatan," katanya.

Beliau mengulas laporan yang mendakwa peguam kanan yang dilantik beliau akan berlepas ke London hari ini untuk mendapatkan pandangan dan nasihat lanjut daripada Peguam Diraja.

Pandangan itu juga bagi menentukan kesahihan tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak yang menggantung Zambry dan enam anggota Exco yang lain daripada menghadiri sidang DUN minggu lalu.

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memfailkan saman mencabar kesahihan pelantikan Zambry sebagai pengganti beliau pada 13 Februari lalu.

BERITA TERDAHULU

Zambry, 4 Exco dapatkan panduan Peguam Diraja di London

PETALING JAYA: Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam Exconya yang digantung daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) antara 12 dan 18 bulan, mahu mendapatkan panduan Peguam Diraja berhubung krisis perlembagaan Perak.

Sehubungan itu, beberapa anggota pasukan peguam mereka dijadual berlepas ke London hari ini.

Turut bersama mereka ialah salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbabit.

"Pasukan ini terdiri daripada peguam kanan dan muda, dengan salah seorang daripada mereka pernah terlibat dalam kes membabitkan Ketua Menteri Sabah pada 1986," kata seorang sumber yang dipetik oleh The Star hari ini.

Menurut sumber itu, mereka akan mendapatkan pandangan kedua berhubung tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar menggantung mereka dan juga tindakan perundangan yang diambil oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin.

Kata sumber itu, pasukan tersebut ke London bagi pihak Zambry dan enam Exco berkenaan.

Ketika ditanya sama ada Peguam Diraja akan mewakili mereka di mahkamah, sumber itu berkata: "Tidak. Selain mendapatkan pandangan kedua, mereka juga mahukan pandangan berhubung kedudukan bidang kuasa Komanwel yang lain, selain kes-kes di Sabah dan Sarawak di sini.

Pada Rabu lalu, Zambry digantung serta-merta dan dilarang daripada menghadiri sidang DUN selama 18 bulan manakala enam Exco pula digantung selama 12 bulan.

Sivakumar berkata, setelah meneliti aduan tersebut, beliau mendapati satu kes prima facie terhadap Zambry (ADUN Pangkor), Datuk Ramly Zahari (Manong), Datuk Saarani Mohamad (Kota Tampan), Hamidah Osman (Sungai Rapat), Zainol Fadzi Paharuddin (Sungai Manik), Mohd. Zahir Abdul Khalid (Kamunting) dan Dr. Mah Hang Soon (Chenderiang).

Pada keesokan hari, Zambry berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang bagi menyelesaikan tindakan menggantung mereka daripada menyertai mesyuarat DUN.

"Buat masa ini kami akan menjalankan tugas seperti biasa... apa yang penting adalah kesahihan tindakan Sivakumar yang membuat keputusan serta-merta dan melakukan pembohongan besar kononnya kesemua mereka gagal dan tidak memberikan sebarang penjelasan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang diadakan petang semalam.

"Tidak timbul soal saya dan enam (Exco) berhadapan masalah untuk masuk DUN kerana isunya sekarang adalah cara dia bertindak," katanya.

Tiada ulasan: