Isnin, 23 Februari 2009

Abdullah dicadang diberi jawatan Menteri Kanan

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Seorang anggota Parlimen mencadangkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diberi jawatan Menteri Kanan seperti Lee Kuan Yew di Singapura selepas melepaskan jawatan Presiden Umno dan Perdana Menteri kepada Timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bulan depan.

Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) berkata langkah itu sesuai kerana jasa Abdullah yang terlalu besar kepada rakyat, negara dan Parlimen sepanjang menjadi pemimpin negara hingga kini.

"Apabila Perdana Menteri kita ini lepaskan jawatan, beliau akan menjadi anggota Parlimen biasa. Jadi kedudukan dia dalam Dewan ini di mana, takkanlah hendak duduk di sebelah Kinabatangan (Datuk Bung Moktar Radin), tidak patut la kan?

"Agaknya boleh tak kita ikut negara jiran bagi beliau kedudukan Menteri Kanan. Pasal Perdana Menteri yang lepas-lepas tidak berhenti di tengah jalan dan tidak bertanding dalam pilihan raya berikutnya," katanya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong pada Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ketika menjawab celahan Dr. Lo' Lo' Mohamad Ghazali (PAS-Titiwangsa) yang ingin tahu siapa yang mendesak Abdullah untuk meletak jawatan, Mohamad berkata ia bukan angkara sesiapa dan sesiapa pun tidak perlu berasa syak wasangka kerana menganggap peletakan jawatan itu sebagai takdir Allah.

Dr. Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) pula mencelah dan berkata bahawa proses peralihan kuasa ini bukanlah satu proses menikam dari belakang tetapi ia satu sistem hebat yang dilakukan untuk menjamin keamanan dan mengelakkan sebarang kekecohan berlaku.

Mohamad yang terus melahirkan penghargaan atas jasa dan sumbangan Abdullah kepada negara berkata bahawa proses peralihan kuasa itu merupakan proses yang sudah diterima ramai.

Semalam, Datuk Mukhriz Tun Mahathir (BN-Jerlun) meminta semua rakyat terutamanya ahli Umno menghormati Perdana Menteri sebagai pemimpin agung selepas era kepimpinannya, apabila berakhir Perhimpunan Agung Umno, Mac ini.

Beliau berkata, apa yang berlaku terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas menyerahkan jawatan pemimpin nombor satu negara kepada Abdullah tidak seharusnya berlaku lagi, sebaliknya semua pihak perlu meletakkan mereka di tempat sewajarnya.

Mukhriz yang juga calon Ketua Pemuda Umno berkata, adalah menjadi adat bangsa Melayu mengenang budi bekas pemimpin mereka terutama kepada pemimpin yang sangat berjasa untuk bangsa dan negara.

Jelasnya, apa yang berlaku kepada Dr. Mahathir sebelum ini perlu dielakkan kerana ada dakwaan yang mengatakan Kedah tewas di tangan pembangkang pada pilihan raya umum disebabkan anggota Umno tidak mengenang budi bapanya.

Sementara itu, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) ketika membahaskan usul itu berharap agar barisan Menteri Kabinet di bawah kepimpinan baru iaitu Najib dapat melakukan tugas sebaik mungkin dan bukannya hanya "duduk di pejabat" sahaja.

"Saya minta kerajaan di bawah pimpinan Najib, menteri yang kerja bukan menteri duduk panaskan pendingin hawa sahaja. Saya minta menteri yang dilantik betul-betul untuk rakyat, kalau pucuk pimpinan mahu kita kerja, menteri pun kena kerja juga," katanya.

Katanya, beliau kecewa dengan sikap sesetengah menteri yang tidak turun padang di sesuatu kawasan melihat sendiri kedaifan dan kekurangan kemudahan asas khususnya di Sabah serta tiada dalam Dewan mendengar luahan anggota Parlimen untuk tindakan lanjut.

"Takkan semua menteri semua sibuk, kalau begini keadaannya semua hendak menjadi menteri sebab tidak perlu datang Dewan. Kalau tiada tugas patut ada dalam Dewan dan dengar luahan kita," katannya.

Tiada ulasan: