Rabu, 25 Februari 2009

Siasat Speaker: Adakah tindakan polis juga lucu?

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR- Sehari selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata "tidak ada yang lebih lucu daripada nasihat Perdana Menteri kepada Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Barisan Nasional supaya beliau membuat laporan polis berkenaan dengan penggantungannya oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak (V Sivakumar)," polis telah mengambil keterangan dari Speaker tersebut berhubung laporan itu.

Tidak diketahui adakah tindakan sepasukan tiga pegawai dan seorang anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontijen Perak yang mengambil keterangan dari Sivakumar itu juga dianggap lucu oleh Dr Mahathir.

Dr Mahathir mempersoalkan, jika keputusan yang dibuat oleh Speaker boleh dianggap sebagai satu jenayah, apa akan jadi jika Speaker Dewan Rakyat menggantung ahli pembangkang kerana apa-apa sebab?

"Dan ini kerap berlaku. Apakah ahli pembangkang akan lapor kepada polis? Jika boleh maka bolehlah kita anggap bahawa polis berkuasa keatas Speaker Dewan," katanya.

Walaupun ada ada jenayah yang boleh dilakukan oleh Speaker, kata bekas Presiden Umno itu, "tetapi menggantung seseorang ahli Dewan bukanlah di antara jenayah yang boleh diambil tindakan oleh polis".

Bernama melaporkan, pasukan yang diketuai Ketua JSJK, Supt Amarjit Singh mengambil keterangan beliau di pejabat guamannya di Jalan Tun Sambanthan di sini bermula dari pukul 2.45 petang hingga 5.15 petang semalam.

Dalam kenyataan yang diedarkan kepada pemberita selepas memberi keterangan itu, Sivakumar berkata beliau telah dihubungi oleh seorang pegawai dari JSJK yang memperkenalkan dirinya sebagai S.C Ng, semalam yang memaklumkan bahawa beliau perlu hadir di Balai Polis Sungai Senam bagi membolehkan polis mengambil keterangannya.

Bagaimanapun, katanya tujuan dan keperluan untuk kenyataannya itu direkodkan oleh polis tidak dinyatakan.

Sivakumar berkata beliau telah memberikan sepenuh kerjasama kepada polis dalam proses tersebut.

"Dengan bertemu pegawai polis berkenaan hari ini untuk merekodkan kenyataan saya, saya telah memberikan sepenuh kerjasama sehingga ke tahap kerjasama saya itu tidak melanggari atau menyalahi apaapa peruntukan undang-undang di negara ini," katanya.

Turut kelihatan di pejabat guaman itu ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Buntong A.Sivasubramaniam, Adun Canning Wong Kah Woh, Adun Simpang Pulai Chan Ming Kai, dan Adun Pokok Assam Yee Seu Kai._

Tiada ulasan: