KL POS.COM
KONVENSYEN khas Barisan Nasional (BN), salah satu daripada lima inisiatif Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum melepaskan jawatan Presiden dan Perdana Menteri hujung bulan depan, ditangguhkan sehingga berakhirnya dua pilihan raya kecil awal April.
Konvensyen itu sebelum ini dijadualkan berlangsung bulan ini.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mengesahkan keputusan untuk menangguhkan konvesyen tersebut dibuat bagi memberi ruang kepada BN membuat persiapan rapi menghadapi dua pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau.
Kedua-duanya akan berlangsung 7 April dengan penamaan calon 29 Mac.
"Kita bukan suka-suka untuk tangguhkan konvensyen, lewat kebelakangan ini banyak sangat pilihan raya kecil.
"Jadi Dewan Tertinggi BN telah memutuskan adalah lebih baik untuk menangguhkannya buat masa sekarang," kata beliau kepada mStar Online hari ini.
Ketika mengumumkan tarikh pelan peralihan kuasa Mac 2009, Abdullah berkata, beliau ingin melihat kerajaan dan BN memperbaharui komitmen terhadap usaha mewujudkan sebuah negara yang bersatu dan harmoni.
"Hakikatnya, kita sudah sama-sama melihat bahawa keharmonian hubungan antara kaum dan agama semakin merosot dan terhakis.
"Pelbagai isu dibangkitkan berupaya meretak dan menghancurkan perpaduan yang kita jalin sekian lama, yang kita banggakan selama ini.
"Isu ini perlu kita depani dengan bijak dan matang, menerusi dialog; tangani isu ini secara konstruktif dan adil bagi memastikan rakyat dapat memahami isu-isu ini dengan jelas, tanpa sebarang keraguan dan berikan fokus kepada aspek yang menyatukan kita dan bukannya aspek yang makin memecah-belahkan kita."
Bagi tujuan itu, Abdullah yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno berkata, beliau akan mengadakan Konvensyen BN awal tahun 2009.
"Ini sememangnya satu usaha jangka panjang yang saya harap dapat saya mulakan dan akan terus saya berikan sumbangan bagi memastikan kejayaannya," katanya.
Ditanya tentang tarikh baru yang ditetapkan untuk mengadakan konvensyen tersebut, Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno berkata: "Kita kena tengok tarikh yang sesuai dahulu, mungkin selepas pemilihan Umno berakhir."
Pemilihan Umno dan Perhimpunan Agung Umno berakhir 28 Mac ini dan disusuli dengan dua pilihan raya kecil tersebut.
"Namun tarikh sebenar belum diputuskan lagi," katanya.
Konvensyen BN yang sepatutnya berlangsung bulan ini dijadualkan membincangkan beberapa isu seperti syor parti MCA yang mahu jawatan Timbalan Pengerusi BN ditambah dan satu daripadanya diisi oleh parti itu.
Adnan juga mengesahkan Dewan Tertinggi BN akan mengadakan mesyuarat Rabu ini bagi membincangkan hal-hal berbangkit dalam parti komponen tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan