Ahad, 1 Februari 2009

Mansuh PPSMI segera selamatkan pelajar luar bandar

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Gerakan Mansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP) menggesa kerajaan membatalkan dasar itu bagi menyelamatkan pelajar di luar bandar yang masih tidak dapat menguasai sepenuhnya bahasa tersebut.

Pengerusi GMP, Datuk Dr. Hassan Ahmad mendakwa, pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris (PPSMI) banyak menimbulkan masalah daripada kebaikan.

"Dasar ini tidak munasabah malah menyebabkan beratus ribu murid di luar bandar gagal menguasai subjek tersebut.

''Bukan sahaja kepada pelajar Melayu bahkan kaum lain juga terasa tempiasnya. Mahu suruh pelajar belajar dalam bahasa yang 90 peratus daripada mereka tidak faham. Bagaimana mahu berjaya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran GMP di sini hari ini.

Hassan menambah, PPSMI adalah satu dasar dan keputusan yang salah dilakukan oleh kerajaan.

"Lebih 30 tahun kita belajar Sains dan Matematik dalam bahasa kebangsaan, tiada apa masalah yang timbul.

''Malah pelajar kita dari pelbagai kaum belajar dalam bahasa Melayu juga boleh berjaya menjadi ahli sains, pakar perubatan dan macam-macam lagi," jelasnya.

Ditanya sama ada gerakan tersebut mempunyai motif politik untuk menolak PPSMI, Hassan menafikannya.

"Gerakan ini ditubuhkan untuk meminta kerajaan mengembalikan subjek tersebut dalam bahasa Melayu.

''Semua yang terlibat merupakan pejuang bahasa, ia tiada kena mengena dengan politik, perkauman dan sebagainya.

''Bagaimanapun UMNO Johor telah menunjukkan minat terhadap gerakan ini," jelasnya.

Sementara itu, Hassan memberitahu, GMP akan mengadakan perhimpunan di hadapan Istana Negara pada 7 Mac depan bagi menyerahkan memorandum memansuhkan PPSMI.

"Kita jangka lebih 100,000 orang akan menyertai perhimpunan tersebut,'' katanya.

Menurut beliau, GMP mahu suara rakyat mengenai bantahan PPSMI dapat disampaikan ke peringkat atasan.

1 ulasan:

Unknown berkata...

saya setuju dimansuhkan.kerajaan senang arah dan senang lihat.tapi hakikatnya pelajar dan guru yang terkapai-kapai.kerajaan harus sedar guru tidak mampu melawan kerana terikat.guru baru mungkin ok.tapi guru lama,diberi kursus ramai pun tak ikhlas dan kurang berkesan.kemahiran hanya diguna masa kursus.bila berdepan dengan pelajar perlahan-lahan semangat akan luntur kerana kasihan pelajar tak paham maka mengajarlah guru tersebut dalam bahasa melayu semula.namun mangsa utama ialah pelajar.memang ya ramai pelajar terutama di bandar umpamanya bandar KL, yang belianya kalau berbual di LRT pun bercampur bahasa inggeris dan melayu.tapi masalahnya adakah kementerian sedar, jangankan luar bandar, pinggir bandar pun memang masalah.percayalah belum masanya.tunggulah bila kita sudah betul-betul maju dan kawasan pedalaman pun dah celik IT dan persekitaran pun dah sebati dengan bahasa inggeris, barulah kita laksanakan. ramai sudah bijak pandai dilahirkan masa sains maths masih BM dulu.bila sambung belajar barulah mereka usaha lebih untuk seterusnya.jangan risau sangat tentang nak bersaing di antarabangsa.kita mantapkan dulu perkara asas.kerajaan pastikan kawasan luar bandar dan pedalaman lengkap, selesaikan rakyat miskin, kebajikan sana sini.saya sangat setuju bila ada yang mengatakan Jepun dan negara-negara lain yang maju, mereka boleh bangun dengan bahasa sendiri.kalau perlu terjemah kita buat.tak berdosa pun asalkan dengan izin.tak memalukan langsung malah bagus kerana ingin belajar. kerajaan juga harus sedar biarlah pelajar bersaing dengan adil iaitu faham bahasa yang sama.maka bila ada yang tak cemerlang, sekurang-kurangnya pelajar dapat cari makan yang bersesuaian.yang cemerlang bidang sains maka rezeki dialah untuk menjadi rakyat malaysia untuk bersaing di antarabangsa seperti yang diidam-idamkan pembuat dasar.jangan sampai dicakap zalim kerana tidak berlaku adil pada rakyat.beri peluang yang sama dan kita tunggu dan lihat siapa yang maju.sedarlah. tolonglah masuhkan sebelum ramai lagi mangsa eksperimen PPSMI !