Isnin, 23 Februari 2009

Gambar 'super impose' Elizabeth Wong di Internet

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Belum pun reda dengan isu gambar kontroversi anggota exco kerajaan negeri Selangor yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, kini gambar 'super impose' wanita itu pula tersebar di internet.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Mohammad Sabtu Osman berkata polis mengesan beberapa keping gambar palsu Wong disebarkan oleh individu yang sengaja mengambil kesempatan ketika isu gambar beliau sedang hangat diperkatakan.

"Saya mengingatkan kepada mereka bahawa tindakan akan dikenakan sekiranya siasatan kita melalui internet mendapati mereka sengaja menyalurkan dan menyebarkan gambar palsu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata buat masa ini hanya ada dua keping gambar kontroversi Wong yang disiasat, tetapi mereka mengesan beberapa lagi gambar 'super impose' Wong disebarkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, beliau berkata sehingga kini polis telah mengambil keterangan daripada 12 individu yang bertugas di lapangan media bagi membantu siasatan tersebut.

Menyentuh mengenai suspek yang merakamkan gambar Wong, Sabtu berkata pihaknya masih gagal menghubungi Hilmi Malek, bekas teman lelaki ahli politik PKR itu, yang disyaki merakamkan gambar kontroversi itu, yang dipercayai bersembunyi di Indonesia.

Wong yang mendapati gambar separuh bogelnya tersebar di internet telah membuat laporan di Balai Polis Damansara kira-kira pukul 11.05 malam pada 18 Feb lepas.

Tiada ulasan: