Selasa, 24 Februari 2009

Kes MB S'gor dirujuk pada panel penilaian operasi SPRM

Muda Mohd Noor


Kes Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didakwa menyalahguna wang negeri berhubung penyelenggaran kereta Lexus miliknya dan pembelian lembu korban, akan dirujuk kepada panel penilaian operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (PRSM).

macc official launch 240209 abu kassimTimbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed berkata, jika panel tersebut mendapati siasatan sempurna, maka menteri besar Selangor boleh didakwa tanpa memberitahu peguam negara.

Di bawah SPRM, katanya, timbalan ketua pesuruhjaya pendakwaan mempunyai hak dan kuasa untuk mendakwa tanpa perlu merujuk kepada peguam negara.

"Panel operasi ini diwakili pelbagai golongan, mereka bekerja tanpa gaji, sebaliknya bekerja untuk negara," katanya.

Beliau memberitahu demikian ketika ditemui selepas pelancaran SPRM oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara hari ini.

Dengan itu, kata Abu Kassim, isu lambat mengambil tindakan dan tindakan terpilih, tidak timbul lagi.

"Sekiranya kes kes hendak ditutup pun, kita akan bentangkan kepada jawatankuasa operasi untuk mendapatkan persetujuan," katanya.

Mahu dipandang tinggi

Dengan itu, katanya, masyarakat kini akan tahu sama ada sesuatu kes itu ditutup.

Abu Kassim juga berkata, SPRM kini menjadi lebih telus dengan adanya orang awam dalam suruhanjaya tersebut.

Katanya, SPRM menumpukan perhatian kepada kes yang bermula 1 Januari lalu, manakala kes-kes lain mengikut prosedur lama.

Sementara itu, dalam ucapannya, perdana menteri berkata, penubuhan SPRM bukan kerana desakan mana-mana pihak atau pertimbangan politik dan ekonomi semata-mata.

Katanya, penubuhannya lahir dari keinginan kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang dihormati dan dipandang tinggi.

Oleh itu, katanya, kerajaan tidak mahu penubuhan SPRM dilihat sebagai retorik semata-mata atau dilihat sekadar penjenamaan semula dari BPR kepada SPRM.

Selama ini, katanya, tuduhan BPR sebagai `harimau tak bergigi,' `penguatkuasaan terpilih', `kelewatan bertindak,' serta tuduhan penyiasatan tidak profesional, sedikit sebanyak telah menjejaskan imej dan kredibiliti badan tersebut.

Hadir sama di majlis pelancaran SPRM ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dan beberapa menteri besar.

Tiada ulasan: