Isnin, 23 Februari 2009

Tidak mahu SPRM buat dakwaan terpilih - PAS Selangor

Azamin Amin


KUALA LUMPUR - PAS Selangor merakamkan rasa simpati terhadap apa yang dilalui oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersama dengan keluarga khususnya yang berkaitan dengan pertuduhan salahguna kuasa seperti yang dilaporkan.

Pesuruhjaya PAS Dato' Dr Hasan Mohd Ali berkata PAS Selangor sentiasa berdiri di belakang Khalid untuk mewujudkan pentadbiran negeri yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab dan adalah amat malang pertuduhan itu terkena kepada beliau sendiri yang tidak jemu-jemu mengingatkan ahli -ahli exco supaya pada setiap ketika mengamalkan prinsip-prinsip ketelusan dan keamanahan itu.

"Dalam masa kurang setahun, Menteri Besar Selangor bersama dengan pasukan exconya telah berjaya melahirkan persekitaran bersih itu...pihak-pihak tertentu berusaha mencederakan imej pimpinan atasan. Asakkan-asakkan ini dijangka bertambah genting dalam bulan-bulan mendatang.

"PAS Selangor mengutuk dengan sekeras-kerasnya segala usaha menumbangkan kerajaan negeri dengan berselindung di sebalik isu-isu yang berkaitan dengan keamanahan padahal langkah-langkah tersebut mempunyai agenda tersembunyi. PAS Selangor sebaliknya mengalu-alukan usaha SPRM menyiasat segala aduan yang ada kaitannya dengan persoalan integriti dan keamanahan atas pinsip "without fear and favor" dan tidak mendakwa secara berpilih-pilih," katanya dalam satu kenyataan media kepada Harakahdaily semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh PAS Selangor selepas Mesyuarat Khas Dewan Harian PAS Selangor yang dipengerusikan oleh Hasan Ali, yang berakhir tengah malam semalam.

Dalam kes yag melibatkan Khalid ini, PAS Selangor katanya berpegang kepada prinsip-prinsip berikut iaitu bersama dengan komponen parti Pakatan Rakyat mempertahankan hasrat dan kehendak Menteri Besar Selangor untuk meletakkan negeri di atas kerangka bersih, amanah, telus dan berintegriti.

"Kita tidak mahu Menteri Besar Selangor menjadi mangsa kerakusan mana-mana pihak untuk mengganggu -gugat kestabilan negeri Pakatan Rakyat.

Dalam masa yang sama PAS Selangor meminta ruang masa daripada Khalid untuk mengadakan pertemuan dari hati ke hati dengan pimpinan PAS negeri bagi mengetahui kedudukan perkara yang sebenarnya di samping meminta ahli dan penyokong PAS khasnya dan rakyat negeri Selangor amnya mengambil sikap bertenang dan berlapang dada dalam menghadapi permalasalahan ini ;

" KIta mendoakan agar Tan Sri Khalid dan ahli keluarga beliau tabah menghadapi cabaran dan mehnah ini. Diharapkan cabaran ini menjadikan kita semua bertambah teguh dan istiqamah bagi memacu Selangor menjadi negeri idaman, maju bersih dan berkebajikan," katanya. _

Tiada ulasan: