Selasa, 24 Februari 2009

Pemuda PKR buat laporan polis dakwa SPRM salah guna kuasa

Pakatan Rakyat


Pemuda PKR mengecam tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengatakan mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa Menteri Besar Selangor atas tuduhan salah guna kuasa dalam urusan penyelenggaraan kenderaan peribadi beliau dan sumbangan lembu korban di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, pengumuman Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Ahmad Said Hamdan kelmarin jelas menunjukkan penyalahgunaan kuasa beliau, yang secara terang melanggar Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan kuasa mendakwa hanya kepada Jabatan Peguam Negara.

Oleh yang demikian AMK akan membuat laporan polis terhadap Ahmad Said berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasanya di Balai Polis Campbell, Kuala Lumpur esok dan serentak Ibu Pejabat Kontijen polis seluruh negara.

Katanya, tindakan Said juga kelihatan selari dengan usaha jahat dan terancang oleh Umno-BN yang mahu mengganggu-gugat kestabilan kerajaan Selangor.

Oleh itu, kata beliau, AMK ingin mempersoalkan profesionalisme SPRM dalam mengendalikan siasatan kes-kes rasuah, khususnya yang dibuat oleh sayap PKR itu sendiri dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Kata Shamdul, laporan membabitkan penyelewengan kes pembelian Eurocopter; rasuah mantan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo; penyelewengan wang kerajaan oleh Kementerian Belia dan Sukan seperti didedahkan Laporan Audit Negara; lesapnya wang kerajaan melalui anak syarikat kerajaan Negeri Terengganu; akuan bersumpah Ketua Bahagian Keadilan Ipoh Barat dan puluhan lagi laporan rasuah dan salah guna kuasa yang dikemukakan oleh AMK, kesemuanya dibakulsampahkan oleh SPRM.

Katanya, AMK melihat SPRM sudah hilang nilai profesionalisme.

“Justeru, AMK akan menggerakkan jentera AMK sepenuhnya untuk menerangkan kepada rakyat pencabulan kuasa dan hak yang dilakukan sewenangnya oleh Umno-BN melalui SPRM.

“AMK juga akan melakukan ‘kunjungan hormat’ ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk menghadiahkan beliau seekor lembu sebagai signifikan kepada peranan SPRM yang semakin tunduk di kawal Umno-BN,” katanya.

Tiada ulasan: