MSTAR ONLINE
[DIKEMAS KINI]
TAIPING: Keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar memanggil sidang tergempar Selasa ini adalah satu tindakan yang bertentangan dengan Perlembagaan Negeri, kata Menteri Besarnya, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula berkata, Speaker DUN tidak boleh memanggil sidang tergempar kerana mahkamah masih belum membuat keputusan berhubung status kerajaan negeri itu.
Katanya, sebarang keputusan untuk mengadakan sidang DUN Perak bergantung kepada keputusan mahkamah berhubung kes terbabit.
Selain bertentangan dengan Perlembagaan Negeri, Zambry yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak awal bulan ini berkata, keputusan Sivakumar juga bercanggah dengan undang-undang dan peraturan DUN.
Sehubungan itu tegas beliau, Sivakumar hanya bertindak sebagai demi kepentingan partinya.
Sebaliknya jelas Zambry, Speaker itu seharusnya bertindak secara objektif kerana beliau sewajarnya mengetahui akan peraturan DUN.
Kemungkinan selepas ini, kata beliau, Sivakumar akan melakukan perkara-perkara lain yang bertentangan dengan Perlembagaan.
Zambry menyatakan demikian kepada pemberita selepas melancarkan jentera pilihan raya Barisan Nasional di Dewan Melor, Changkat Jering di sini hari ini.
Changkat Jering merupakan salah satu kerusi DUN dalam bahagian Parlimen Bukit Gantang, yang menyaksikan pilihan raya kecil awal April.
Tidak sah, BN Perak persoal Speaker panggil sidang DUN
URUTAN DETIK KRISIS POLITIK DI PERAK
Semalam, V. Sivakumar berkata, beliau akan memanggil sidang tergempar DUN Selasa ini bagi membincangkan dua notis usul yang diterimanya berhubung krisis peralihan kuasa kerajaan negeri itu.
Usul pertama daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah daripada PAS, adalah bagi dewan menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar manakala usul kedua oleh Chang Lih Kang (PKR-Teja) memohon supaya dewan itu dibubarkan untuk membolehkan pilihan raya negeri diadakan.
Menurut Sivakumar, sidang tergempar itu tidak memerlukan perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah terlebih dahulu kerana notis 14 hari hanya perlu dikeluarkan dalam keadaan DUN bersidang biasa dan bukannya untuk sidang tergempar.
Katanya, arahan telah diberikan kepada Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong untuk menghantar notis secepat mungkin kepada semua ADUN bagi menghadiri sidang tersebut.
Mengenai penjelasan Sivakumar bahawa keputusan memanggil sidang tergempar tidak memerlukan perkenan Sultan Perak, Zambry menolak tanggap sedemikian.
Tegas beliau, undang-undang negeri dengan jelas menyebut bahawa apa jua sidang DUN memerlukan perkenan Sultan Perak.
Zambry berkata, Sivakumar seharusnya membaca Peraturan 36 dan peruntukan lain Perintah Tetap DUN, bukannya membuat tafsiran mengikut kehendaknya.
Tambah beliau, keputusan itu menunjukkan Sivakumar mahu mengatasi kuasa Sultan.
"Dahulu nampaknya, Singh the King, tetapi kini Siva the King," katanya.
Ketika ditanya sama ada akan memfailkan perintah injuksi bagi menghalang sidang tergempar itu, Zambry memberitahu, ia tidak diperlukan memandangkan pertemuan minggu depan memang bercanggah dengan perlembagaan.
"Mereka mahu kami menari ikut rentak mereka, tetapi kami tidak akan berbuat demikian.
"Akan ada banyak lagi kejadian selepas ini," katanya.
Oleh itu, Zambry memberitahu, bagi mengadakan sidang DUN yang betul, Sivakumar seharusnya membenarkan penyertaan beliau bersama enam Exco dan tiga ADUN Bebas yang menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN).
Pada 18 Februari lalu, Zambry dan dilarang daripada menghadiri sesi DUN Perak selama 18 bulan manakala Anggota Majlis Mesyuarat (Exco) kerajaan negeri pula digantung selama 12 bulan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan