Jumaat, 27 Februari 2009

Dewan tubuh jawatan siasat aduan Karpal

MALAYSIA KINI


Dewan Rakyat meluluskan usul untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyiasat aduan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) mengenai perbuatan menghina dewan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Datuk Dr Ronald Kiandee sebagai timbalan pengerusi.

Ia dianggotai oleh Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu), Datuk Seri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah), Datuk Nancy Shukri (BN-Batang Sadong), R. Sivarasa (PKR-Subang), Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) dan Datuk Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat), katanya semasa membentangkan usul itu di dewan hari ini, lapor Bernama.

Beliau menjelaskan bahawa jawatankuasa berkenaan boleh mengambil tindakan bersesuaian mengikut Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

"Penubuhan jawatankuasa itu dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 80A Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, iaitu majlis mengambil ketetapan untuk menubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat aduan dari Yang Berhormat Bukit Gelugor," katanya.

Terdahulu, Pandikar Amin menolak usul Karpal yang meminta Speaker mengeluarkan waran tangkap bagi menahan dua individu yang terlibat menghalang beliau memasuki bangunan Parlimen mengikut Peraturan Mesyuarat 26(1)(P).

Cetus ketegangan

Karpal memohon supaya waran tangkap itu dikeluarkan terhadap Ketua Pemuda Umno Serdang, Ungku Mat Salleh serta Ketua Pemuda Umno Gombak Megat Zulkarnain Omardin, dan kedua-dua mereka perlu dihadapkan ke dewan bagi memberi tunjuk sebab kenapa mereka tidak patut dipenjarakan menurut Seksyen 11 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Beliau membangkitkan perkara itu berdasarkan Peraturan Mesyuarat 26(1)(P) yang bersabit dengan hak istimewa Ahli Parlimen di mana tiada notis diperlukan, serta Seksyen 9 dan 11 Akta Majlis Parlimen memandangkan kejadian itu berlaku di perkarangan Parlimen di mana beliau diserang oleh sekumpulan anggota Pemuda Umno apabila sampai ke blok menara untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Pada jam 2.30 petang tadi, sekumpulan 15 anggota Pemuda Umno Selangor menghalang Pengerusi DAP itu daripada memasuki bangunan Parlimen dengan menuntut Karpal supaya memohon maaf kerana mendakwa Pemuda Umno menghantar peluru kepadanya.

Peristiwa itu menimbulkan suasana tegang selama 15 minit apabila berlaku cabar mencabar antara anggota Pemuda Umno dengan beberapa ahli Parlimen DAP termasuk anak Karpal, Gobind Singh Deo, yang juga ahli Parlimen Puchong.

Pandikar Amin berkata usul mengikut Peraturan Mesyuarat 80A lebih sesuai dikemukakan dan beliau sudahpun menerima notis dari Mohamed Nazri berhubung perkara itu.

"Saya sebagai Speaker telah memikirkan soal ini dan saya terpaksa ambil tindakan tegas terhadap apa yang berlaku. Keputusan saya ini muktamad. Ruling (ketetapan) yang diminta (menurut Peraturan Mesyuarat 26(1)(P)) adalah tidak berkenaan.

Mesyuarat secepat mungkin


"Ini kerana saya tidak boleh keluarkan waran tangkap terhadap orang yang belum dibicarakan. Bagi saya tidak boleh ikut kerana dalam fikiran saya Peraturan Mesyuarat 80A sesuai, itu pendapat saya dan ia muktamad," katanya.

Mohamed Nazri yang ditemui pemberita di Lobi Parlimen berkata jawatankuasa itu akan mengadakan mesyuarat secepat mungkin sebelum persidangan Parlimen berakhir.

"Mereka akan bermesyuarat secepat mungkin, (dan) apabila mereka bermesyuarat, mereka akan membuat keputusan yang akan dibentangkan dalam persidangan Dewan sekali lagi," katanya.

Ketika ditanya sama ada jawatankuasa itu akan berbincang seperti inkuiri awam, Mohamed Nazri berkata: "Mereka akan melakukan apa jua yang perlu dilakukan, termasuk memanggil pihak yang terbabit (termasuk) polis. Selepas itu, mereka perlu membuat keputusan."

Beliau berkata jawatankuasa itu mempunyai kuasa untuk memberi hukuman denda maksimum RM1,000 jika inidividu yang terbabit didapati bersalah.

Tiada ulasan: