Ahad, 1 Februari 2009

32 hafiz bakal doktor perubatan

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Seramai 32 hafiz al-Quran Malaysia sedang mengikuti kursus perubatan di Mesir dan dijangka pulang untuk berkhidmat sebagai doktor pada 2012.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sedang menaja pembelajaran pelajar terbabit dan merancang untuk menambah jumlah mereka kepada 100 orang.

Beliau yang juga Pengerusi MAIWP berkata, program itu merupakan usaha ke arah penubuhan Sekolah Imtiaz (Sekolah Tahfiz-Sains) yang akan ditubuhkan di Wilayah Persekutuan dan diuruskan oleh Yayasan Generasi Gemilang (Y2G) di bawah MAIWP.

"Apabila mereka pulang sebagai doktor, mereka akan menjadi contoh dan memberi semangat kepada pelajar tahfiz al-Quran yang sedang mengikuti pembelajaran di sini," katanya selepas melancarkan yayasan tersebut di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Da tuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz; Pen garah Jabatan Agama Islam Wilayah Perse kutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan Pengerusi Y2G, Datuk Hisham Abdul Majid.

Katanya, kaedah pembelajaran sekolah itu hampir sama dengan Sekolah Imtiaz di Terengganu di mana pelajarnya diwajibkan menghafal 30 juzuk al-Quran selain mengikuti kurikulum kebangsaan yang ditetapkan Kementerian Pelajaran.

Sementara itu, Zulhasnan berkata, sebidang tanah seluas 8.8 hektar di Setiawangsa telah dikenal pasti untuk pembinaan Sekolah Imtiaz pertama di Kuala Lumpur.

"Pembinaan sekolah itu akan mengambil masa empat tahun mulai sekarang dan pengambilan pelajar ditumpukan kepada anak kelahiran Wilayah Persekutuan," katanya pada majlis yang sama.

Beliau juga berkata, sebuah Sekolah Menengah Agama MAIWP dengan kapasiti 1,000 pelajar akan turut dibina di Bandar Seri Permaisuri dan dijangka siap pada 2010.

"Sekolah tersebut akan menjadi sekolah perantara kepada Sekolah Imtiaz," katanya lagi.

Tiada ulasan: