WAN NORDIN WAN YAACOB
KUALA LUMPUR - PAS Selangor terperanjat apabila membaca kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Dato' Seri Ahmad Said Hamdan bahawa SPRM mempunyai bukti kukuh berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa melibatkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibarhim.
Dalam kenyataan tersebut Pengerusi SPRM menjelaskan bahawa pihaknya telah pun menyerahkan kertas siasatan terhadap Khalid kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,kata Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir.
"Mengapakah hasil kertas siasatan yang belum pun disemak dan diluluskan pendakwaan oleh pihak Pejabat Peguam Negara didedahkan kepada pengetahuan umum?," katanya.
Walaupun mungkin ianya kes berprofil tinggi namun kewajaran untuk pendakwaan belum pun diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara tetapi hasil kenyataan SPRM ini Khalid seolah telah digambarkan sebagai penjenayah, tegas beliau.
PAS Selangor kesal dengan perkembangan ini dan memandang ianya sebagai sebahagian dari rangkaian usaha untuk menyerang dan memburuk-burukkan kerajaan Pakatan Rakyat setelah "politk pintu belakang" digunakan untuk merampas kuasa kerajaan PR di Perak, ujarnya.
PAS Selangor bersimpati dan berdiri teguh di belakang kepimpinan Khalid selaku MB Selangor, katanya.
Beliau juga menambah, poihaknya mengharapkan agar proses undang-undang yang adil dan saksama akan diberikan kepada beliau dan malah yakin yang dakwaan terhadap MB ini tidak benar dan tidak berasas sama sekali.
PAS Selangor akan terus berpegang teguh kepada falsahfah bersih, maju dan berkebajikan yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat khasnya kerajaan Selangor kini dan yakin bahawa komitmen semua pihak dalam hal ini akan memastikan Selangor terus selamat dan sejahtera dengan sokongan dan dokongan penuh rakyat jelata./wannordin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan