Sabtu, 31 Oktober 2020

UMANY derhaka persoal tindakan Agong: PEMBINA UM

Siti Hafidah

Tindakan UMANY cukup biadab, rosak nama baik Universiti Malaya

BANGI – Derhaka! Demikian gelaran yang wajar diberikan kepada University of Malaya Association of New Youth (UMANY) setelah mempersoalkan tindakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah masuk campur dalam urusan pentadbiran negara.

Perbuatan kontroversi itu bukan sahaja memperlihatkan sikap biadab persatuan berkenaan, malah secara langsung memburukkan nama baik Universiti Malaya (UM).

Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UM berkata, merujuk kepada artikel bertajuk ‘YDPA Should Not Interfere In National Affairs’ sudah terang lagi bersuluh UMANY tidak berlaku adil dalam menulis artikel tersebut.

Jelasnya, ini kerana, UMANY tidak menyatakan berkenaan kewujudan Perkara 39 dan Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan yang memperincikan kuasa Agong berkaitan urus tadbir negara.

Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan menyatakan: “Kuasa Eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang Persekutuan dan peruntukan.

“Jadual kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi Eksekutif kepada orang lain.”

Sementara Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan, keanggotaan Parlimen menyatakan: “Kuasa perundangan Persekutuan hendaklah terletak hak pada Parlimen yang hendaklah terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Negara dan Dewan Rakyat.”

Sehubungan itu, PEMBINA UM berkata, pada perenggan pertama dan kedua artikel UMANY, mereka menyatakan perasaan tidak berpuas hati dengan keterlibatan Seri Paduka dalam dua perkara iaitu penolakan perisytiharan darurat seperti mana yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Berkaitan perisytiharan darurat, barang kali UMANY terlupa, atau buat-buat lupa bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak untuk memperkenan atau menolak perisytiharan darurat seperti mana yang termaktub dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, Proklamasi Darurat,” bidasnya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, PEMBINA UM menempelak kenyataan UMANY yang menyebut ‘walaupun Malaysia mengekalkan sistem pemerintahan beraja, raja hanya mempunyai status simbolik yang dianugerahkan oleh Perlembagaan Persekutuan’.

“Cukup biadab kenyataan yang dikeluarkan oleh UMANY! UMANY telah menggunakan hujah Perkara 40 (1A) dan Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan bagi ‘menghalalkan’ kenyataan biadab mereka berkenaan bidang kuasa Agong,” katanya tegas.

Terdahulu, UMANY dalam satu hantaran Facebook berkata, Malaysia telah meneruskan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan sejak penubuhannya.

Katanya di bawah sistem ini, walaupun Malaysia mengekalkan sistem monarki, raja hanya mempunyai status simbolik yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Artikel 40, perenggan 1A Perlembagaan, Ketua Tertinggi Persekutuan (YDPA) harus bertindak sesuai dengan nasihat yang dibuat oleh Kabinet.

Sama ada melantik Ketua Hakim, duta diplomatik atau bahkan meluluskan berbagai undang-undang di Parlimen, raja tidak mempunyai wewenang, kata UMANY.

UMANY menyatakan pendiriannya iaitu YDPA tidak boleh mencampuri urusan negara tetapi perlu sentiasa menjaga sikap berkecuali dan memainkan peranannya dalam kerangka yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Bagaimanapun, hari ini, hantaran UMANY di Facebook itu telah dipadamkan.

Tiada ulasan: