Jumaat, 30 Oktober 2020

Reman seorang ‘Datuk’, 2 polis berkait Macau Scam lanjut 38 hari

Ketiga-tiga lelaki terbabit sebelum ini direman selama 21 hari.

KUALA LUMPUR: Tempoh tahanan reman seorang lelaki bergelar “Datuk” bersama 2 anggota polis berhubung siasatan kes sindiket perjudian dalam talian dan kegiatan Macau Scam dilanjutkan 38 hari lagi oleh Mahkamah Majistret hari ini.

Majistret M Mageswary mengeluarkan perintah itu ke atas semua suspek lelaki berusia lingkungan 34 hingga 39 tahun selepas membenarkan permohonan polis untuk melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap mereka, bermula hari ini.

Mereka sebelum ini ditahan reman selama 21 hari bermula 14 Oktober bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Prosiding reman ketiga-tiga suspek yang memakai baju lokap berwarna oren bermula 10.30 pagi dan selesai sejam kemudian.

Peguam Jacky Loi ketika dihubungi Bernama mengesahkan semua suspek yang turut diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Shahrizal Abdul Manan, ditahan reman mengikut Seksyen 4(2)(a) POCA.

Pada 13 Oktober, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata polis menahan semula 3 individu selepas mahkamah menolak perintah reman yang dipohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mereka.

Mereka ditahan polis berhubung kes pusat panggilan membabitkan kegiatan judi dalam talian selepas dibebaskan SPRM

Tiada ulasan: