Sabtu, 17 Oktober 2020

Macau Scam: Saya tak terlibat – Aliff Syukri

Wartawan MalaysiaGazette

Datuk Seri Aliff Syukri.

KUALA LUMPUR – Usahawan selebriti, Aliff Syukri Kamarzaman menafikan dakwaan beliau terbabit dalam kes penipuan Macau Scam.

Sebaliknya beliau sentiasa berusaha mencari rezeki halal selain membantu mereka yang terjejas ekonomi akibat Covid-19.

Usahawan kosmetik kontroversi itu meminta orang ramai agar tidak membuat tuduhan melulu ke atas perniagaan yang didakwanya diusahakan secara halal.

“Penatlah, ramai yang pelik kenapa saya senang. Orang tak tahu saya berusaha siang malam, pagi dan petang cari rezeki halal. Syukur rezeki saya tak putus walaupun pada musim Covid-19.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membekukan lebih RM80 juta daripada 730 akaun bank dan menyita wang tunai berjumlah RM5 juta berhubung pengubahan wang yang turut mengaitkan beberapa selebriti.

Turut dirampas, 23 kenderaan mewah pelbagai jenama serta motosikal berkuasa tinggi yang dipercayai dibeli hasil daripada aktiviti judi dalam talian tempatan.

Sindiket cuci wang itu dipercayai melaburkan wang daripada aktiviti kegiatan berkenaan ke dalam perniagaan dijalankan selebriti dan personaliti terkenal tanah air serta usahawan kosmetik tempatan.

Aliff yang juga penyanyi berkata, niatnya sejak dari dulu ketika menceburkan diri dalam perniagaan adalah untuk membantu orang ramai yang ingin mengubah ekonomi hidup mereka.

“Saya nak bantu anda. Ramai mengadu dengan saya sebab tak boleh bayar duit kereta, duit rumah dan ramai yang minta saya bantu.

“Orang ramai tertekan sebab Covid-19, sampai ada bercerai-berai sebab tak ada duit, ini masalah orang yang tak dapat bertenang,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Aliff turut mengiringi video berkenaan dengan mengiklankan seminar diadakannya dengan bermodalkan wang berjumlah RM5.

“Jangan takut, kami bukan nak cerita pasal perniagaan, tapi nak bantu masalah anda. Kita tak memaksa anda untuk berniaga dan saya janji perniagaan ini sah.

“Dengan RM5 itu, kita hanya beli nasi ayam tu pun tak lepas nak bagi hangpa (kamu) makan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: