Selasa, 14 Julai 2020

RM800 juta saman JPJ tak dibayar sejak 10 tahun

Bernama

Malaysiakini
 
Sebanyak 2.7 juta saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melibatkan pelbagai kesalahan lalu lintas sejak tahun 2010 dengan nilai kira-kira RM800 juta masih belum dijelaskan, kata Ketua Pengarah JPJ Shaharuddin Khalid.

"Saman tersebut merangkumi kesalahan seperti memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan tiada lesen memandu.

"Pihak JPJ akan mengambil tindakan kepada pengguna jalan raya yang tidak mahu membayar saman tertunggak antaranya dengan menyenarai hitam nama mereka sekiranya memperbaharui lesen memandu," katanya dalam temu bual dengan Bernama hari ini.

Dalam perkembangan lain, Shaharuddin berkata pihaknya sedang menyelaraskan had laju maksimum pada kelajuan 110 km sejam di semua laluan di lebuh raya utama di seluruh negara.

Beliau berkata had laju itu terpakai di lebuh raya utama kecuali di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) bagi laluan Terowong Menora di Ipoh, Perak dengan had laju 70 km sejam bagi mengurangkan risiko kemalangan di kawasan terbabit.

Selain itu, Shaharuddin berkata empat kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) juga akan ditambah di kawasan berkenaan.

"Penambahan itu menjadikan keseluruhan 49 kamera Awas yang terdapat di seluruh negara termasuk 22 di Plus setakat ini," katanya.-Bernama

Tiada ulasan: