Ahad, 22 September 2019

Loke: PH perlu pertahankan kerusi Tanjung Piai

MALAYSIAKINI

   

PH akan berusaha mempertahankan kerusi parlimen Tanjung Piai, Johor dalam pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan tidak lama lagi, kata Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.

Sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik yang meninggal dunia semalam, Loke yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata untuk itu, semua jentera PH - baik diperingkat pusat mahu pun negeri - perlulah bekerja keras.

"Kita akan menghadapi PRK Tanjung Piai dan ia menjadi ujian besar kepada kita dalam PH.

"Bagi mengenang jasa, budi dan sumbangan Dr Md Farid, kita mesti mengembleng tenaga dan menggerakkan jentera kita untuk memastikan kerusi Tanjung Piai dipertahankan, " katanya dalam ucapan sempena Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan di Seremban hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Pengerusi PH Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar Aminuddin Harun serta barisan pemimpin komponen PH negeri.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan turut menyifatkan Allahyarham Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu sebagai seorang pemimpin yang berwawasan dan pemergiannya merupakan kehilangan besar buat negara dan PH.

Terdahulu, semua perwakilan dan pemimpin yang hadir bertafakur selama seminit pada awal sesi konvensyen itu bagi memperingkati kematian Md Farid.

Semalam, Md Farid, 42, yang juga Naib Ketua Bersatu Tanjung Piai, meninggal dunia sekitar 6 pagi di Hospital Pontian akibat serangan jantung.- Bernama


PAS nak berjuang bersama GPS demi Sarawak

MALAYSIAKINI

   

Beberapa hari selepas mengajak penduduk Sarawak untuk menghalang DAP daripada menguasai negeri itu PAS semalam menzahirkan keinginan mereka bekerjasama dengan kerajaan negeri.

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee, berkata parti itu bersedia untuk bergerak memperjuangkan hak-hak negeri terbabit di sebalik pelbagai tuduhan yang dikenakan kepada mereka.

"PAS selalu dilabelkan sebagai parti Islam yang ekstrem. Ia tidak adil.

"PAS sentiasa bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dan bangsa lain jika mereka bersedia menerima dasar kami," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Selepas mendapat sokongan pelbagai kaum - termasuk Cina - dalam beberapa pilihan raya umum (PRU) sebelum ini, PAS dilihat seperti kembali kepada era 1980-an apabila menunjukkan pengaruh di negeri utara dan timur Semenanjung Malaysia akhir-akhir ini.

Di Selangor misalnya, selepas menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri, PAS cuma mempunyai satu kerusi daripada jumlah keseluruhan 56 kerusi DUN berkenaan selepas PRU ke-14 tahun lalu.

PAS mengajak penduduk Melayu dan Iban di Sarawak agar bekerjasama menghalang Cina DAP daripada "menguasai" negeri berkenaan.




Pertengahan bulan ini Abdul Hadi mengajak penduduk bumiputera Sarawak berusaha menghalang negeri terbabit daripada dikuasai "Cina DAP".

“Sebab itu kita (PAS) harap supaya rakyat selama ini utamakan, biar bumiputera yang menguasai Sarawak ini.

"Biar Melayu yang menguasai Sarawak ini... kita tidak (mahu) halau orang Cina, tidak! Tapi jangan (kita biarkan) orang Cina (DAP) menguasai Sarawak ini," katanya seperti dipetik lidah rasmi parti itu, harakahdaily.
Untuk rekod, parti-parti Sarawak meninggalkan BN selepas gabungan itu kalah kepada PH dalam PRU tahun lalu. Mereka kemudian membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan mengambil pendekatan mesra kepada PH.

PAS menunjukkan keyakinan tinggi dalam PRU lalu dengan meletakkan calon di lima kerusi parlimen iaitu Petra Jaya, Sibuti, Kota Samarahan, Batang Sadong dan Batang Lupar.

DAP tak setia dalam hubungan

Bagaimanapun semua calon terbabit gagal mendapat undi yang signifikan daripada penduduk negeri terbabit.

Jofri berkata lawatan Abdul Hadi bertemu Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg, minggu lalu menunjukkan kerjasama di antara kedua-dua parti adalah mungkin.

Sementara itu Jofri berkata kenyataan Abdul Hadi di Bintulu baru-baru ini disalahtafsirkan.

Katanya PAS tidak mahu DAP menguasai kerajaan Sarawak seperti yang berlaku dengan kerajaan persekutuan hari ini kerana parti itu bersifat cauvinis Cina yang memberi tumpuan lebih kepada bangsanya sendiri, manakala etnik lain seperti penduduk Islam Melayu dan bumiputera dipinggirkan.

Katanya PAS mahu Sarawak terus diterajui oleh penduduk tempatan, khususnya yang beragama Islam dan bumiputera Melayu serta orang asal yang boleh berlaku adil kepada semua.

"Mengapa PAS tidak mahu bekerjasama dengan DAP? Kerana DAP terbukti tidak setia dalam membentuk hubungan.

"Adalah jelas bahawa DAP telah berada di Barisan Alternatif sebelum ini. DAP keluar selepas PAS tegas menegaskan dirinya dengan perjuangan Islam," katanya.


Hentikan dulu tindakan jual aset negara


   

KATA MP | Khazanah ertinya harta atau aset. Khazanah Nasional ertinya aset negara.

Sebagai ahli parlimen saya minta kerajaan persekutuan mencari jalan lain untuk membayar hutang negara sekarang.

Jangan cari jalan mudah dengan menjual harta Khazanah Nasional untuk membayar hutang.

PH mengkritik Najib Razak dan BN kerana menyebabkan negara memikul beban hutang yang besar akibat rasuah dan salah urus negara. Najib dan BN telah dihukum oleh rakyat kerana itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei 2018 yang lalu.

Jika Kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad sekarang menjual harta-harta Khazanah untuk membayar hutang sehingga negara kehilangan harta, percayalah rakyat yang melihat dan membuka mata akan menghukum kita dalam PRU akan datang.

Apa yang kerajaan persekutuan pelu buat sekarang untuk mengelakkan lebih banyak harta Khazanah daripada dijual?

Apakah anggota kabinet yang diketuai perdana menteri sudah kehabisan idea sehingga terpaksa mengambil jalan menjual harta negara?

Saya mohon perdana menteri dan kabinet sekarang membawa perkara mustahak ini kepada parlimen yang akan bersidang pada 7 Oktober nanti.

Beri peluang kepada ahli-ahli parlimen dari kedua-dua belah pihak - kerajaan dan pembangkang - memberikan idea dan buah fikiran untuk membantu pihak eksekutif menangani isu pembayaran hutang negara yang melebihi RM1 trilion angkara salah urus kewangan dan ekonomi serta rasuah kuasa kerajaan BN lalu.

Untuk sementara waktu, hentikan dulu sebarang langkah untuk menjual lagi harta-harta Khazanah atau syarikat lain milik kerajaan.


HASSAN KARIM ialah anggota parlimen Pasir Gudang dan pemimpin PKR.


Dakwaan pembangunan Kampung Baru sisih orang Melayu tidak benar – Dr M

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa pembangunan Kampung Baru akan ‘mengeluarkan’ orang Melayu dari ibu kota adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata kepentingan dan kedudukan orang Melayu menjadi teras kepada sesuatu usaha pembangunan Kampung Baru, seperti yang diperuntukkan dalam Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu.

“Ia (akta) sendiri meletakkan bahawa kepentingan orang Melayu termasuk kepentingan sosial, ekonomi, warisan budaya dan nilai sejarah akan diberi keutamaan dalam setiap pembangunan yang hendak dilaksanakan.

“Saya juga diberitahu telah ditetapkan bahawa sebarang pembangunan di Kampung Baru juga perlu tepati garis panduan seni bina Melayu Islam yang telah disediakan. Ini bermakna pembangunan Kampung Baru mengambil kira setiap aspek warisan dan sejarahnya dan ia akan kekal sebagai simbol kebanggaan orang Melayu di tengah ibu kota,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu tayangan video lima minit bagi merasmikan sesi townhall bersama pemilik dan pewaris Kampung Baru yang turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata idea pembangunan semula Kampung Baru telah lama dibincangkan seawal tahun 80-an dan 90-an dan kerajaan menerima pelbagai cadangan serta maklum balas mengenainya.
“Ada yang sokong dan ada yang sebaliknya. Malangnya setelah berabad berlalu, Kampung Baru masih seperti mana tahun-tahun terdahulu. Ia pamer dua wajah yang bercanggah.

“Di satu pihak ia sebagai simbol kebanggaan orang Melayu di ibu kota, dan di satu pihak lain ketika Kuala Lumpur pesat membangun menjadi metropolis, masa seolah-olah terhenti di Kampung Baru dan keadaan yang tidak teratur dan kesesakan membuatkan ia bukan satu tempat selesa,” katanya.

Oleh itu, untuk mengatasi masalah tersebut, Dr Mahathir berkata rombakan diperlukan untuk membangunkan semula Kampung Baru, dan sekiranya tidak dilakukan, ia akan bertentangan dengan keadaan sekeliling yang menyebabkan Kampung Baru kelihatan ‘terhimpit’ di tengah kepesatan pembangunan dan terpinggir daripada arus pemodenan.

Beliau berkata sebahagian besar orang Melayu sendiri tidak lagi memilih untuk tinggal di Kampung Baru dan lebih malang lagi, orang asing mula mendiami dan menjalankan perniagaan di kawasan tersebut.

“Saya andaikan ia adalah kerana suasana Kampung Baru tidak lagi selesa, oleh itu adalah lebih baik jika kawasan ini dibangunkan dan disusun semula, lengkap dengan kemudahan awam dan mempunyai jaringan infrastruktur efisien di samping kawasan lapang untuk aktiviti riadah dan kemasyarakatan.

“Sudah tentu ramai orang Melayu berminat untuk tinggal di sini (nanti), dan secara langsung ia tingkatkan nilai pasaran hartanah. Mereka yang telah tinggalkan (Kampung Baru) pun mungkin balik,” katanya.

Sementara itu kerajaan hari ini menawarkan untuk membeli tanah di Kampung Baru di sini dengan kadar RM850 bagi setiap satu kaki persegi sebagai pulangan kepada pemilik dan pewaris bagi pembangunan semula kawasan tersebut.

Khalid berkata tawaran tersebut merupakan kadar tertinggi dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dengan mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan orang Melayu sahaja.

Lebih 3,000 pemilik dan pewaris Kampung Baru hadir pada sesi townhall itu yang dikendalikan Khalid.—Bernama 

Banyak kerenah memajukan tanah Kampung Baru

Prof Dr Ismail Omar

 

Pemilik tanah perlu berani hadapi sebarang kemungkinan, bersedia dengan ilmu hartanah

RAMAI daripada pemilik tanah di Kampung Baru menghubungi penulis bertanyakan beberapa perkara tentang cadangan kerajaan untuk memajukan tanah mereka.

Rata-rata mereka kurang pasti apa yang akan berlaku.

Pemilik kurang pasti mengenai kebaikan dan keburukan pembangunan yang dicadangkan.

Antara soalan yang berlegar-legar di dalam minda mereka ialah apabila tanah mereka dilibatkan dengan pembangunan, di mana mereka akan dipindahkan atau apa yang akan terjadi kepada perniagaan yang mereka usahakan sekarang?

Mereka turut runsing apa yang akan terjadi kepada rumah yang mereka sewakan sekarang. Ada yang bimbang kemungkinan setelah tanah mereka dibeli dengan harga tertentu, tanah itu kemudiannya dijual pula kepada pelabur dengan harga yang lebih mahal di pasaran.

Jikalau dimajukan sebagai pangsapuri, mampukah orang Melayu membelinya? Boleh dikatakan pelbagai persoalan yang menghantui mereka, menyebabkan ramai yang resah dan gelisah.

Apabila pemilik tanah Kampung Baru merenung semula apa yang terjadi di tempat mereka, timbul rasa cuak dan takut di benak masing-masing. Sudah beberapa kali mereka ditipu beberapa pemaju yang memujuk mereka untuk berkongsi memajukan tanah.

Akhirnya, geran tanah hilang dan pembangunan gagal, pemajunya pula hilang entah ke mana. Ada juga pemilik tanah yang tersenyum puas. Maklumlah doa dan harapan mereka semakin nampak menjadi kenyataan. Pembangunan yang dirancang pada 1991 diyakini dimuktamadkan juga kali ini.

Pada 1991, ada berita bahawa tanah mereka akan diambil dan dibayar pampasan yang setimpal. Kemudian, atas sebab-sebab kos pembangunan yang amat tinggi, pihak kerajaan terdahulu membatalkan hasrat berkenaan.

Sekarang timbul pula berita cadangan semua tanah mereka akan dibeli pihak kerajaan dengan harga yang setimpal. Ada yang mengatakan nilai tanah mereka dengan harga sehingga RM1,000 sekaki persegi (92.9 meter persegi).

Maknanya, setiap penduduk yang memiliki lot tanah 7,000 kaki persegi (650.3 meter persegi) akan menerima harga jualan tanah sebanyak RM7 juta. Lantaran itu, berbagai-bagai rancangan masa hadapan yang sedang direka dan difikirkan.

Cadangan pembangunan semula Kampung Baru dibuat pihak kerajaan melalui rundingan harga secara terus untuk maksud jual beli di pasaran. Terdapat laporan bahawa bayaran yang diperuntukkan amat besar iaitu kira-kira RM10 bilion.

Ini bermakna pihak pemilik boleh mengemukakan harga jualan yang ditawarkan kepada pihak kerajaan untuk dipertimbangkan. Apabila tawar-menawar berlaku, akhirnya penjual dan pembeli akan mempersetujui harga pasaran dan jual beli akan berlaku.

Pendekatan ini dinamakan mekanisme pasaran yang melibatkan permintaan dan penawaran. Titik keseimbangan adalah harga yang terbaik di pasaran yang akan dimuktamadkan.

Namun, rundingan neoklasikal iaitu pendekatan ekonomi yang timbul selepas Perang Dunia Kedua, yang melibatkan permintaan dan  bekalan bagi  menentukan harga, sudah tidak sesuai lagi pada masa sekarang. Ini terutama sekali apabila pemilik tidak mempunyai kefahaman jelas tentang pasaran harta.

Oleh yang demikian, pemilik tanah di Kampung Baru sepatutnya diberi peluang untuk melantik wakil atau ejen mereka yang profesional bagi mengendalikan rundingan harga yang berkenaan.

Sekiranya rundingan terus antara pemilik dan pihak kerajaan tidak berlaku sebaik-baiknya, pihak kerajaan boleh mengambil tanah penduduk melalui Akta Pengambilan Tanah 1960. Akta ini memberi kuasa kepada pihak kerajaan mengambil tanah berimilik untuk maksud awam atau pembangunan ekonomi.

Dalam urusan pengambilan, pampasan mencukupi akan dibayar kepada pemilik yang sah melibatkan nilai tanah dan juga kos-kos berkaitan.

Sebagai bantuan untuk kemudahan pemilik, pihak kerajaan membenarkan mereka melantik penilai swasta untuk menyediakan laporan dan nilaian untuk maksud siasatan di pejabat tanah.

Sekiranya pemilik-pemilik tidak bersetuju dengan jumlah pampasan, mereka boleh membuat bantahan dan kes berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Tinggi untuk diadili dan ditentukan nilai pampasan yang muktamad.

Pemilik-pemilik tanah di Kampung Baru harus bersedia dengan ilmu pengetahuan terutama sekali mengenai harga dan nilai pasaran tanah-tanah mereka.

Jenis nilai tanah ini dinamai Nilai Pasaran Terbuka. Ada banyak faktor yang mempengaruhi nilai pasaran ini. Antaranya termasuklah jenis pegangan tanah.

Tanah di Kampung Baru adalah tanah Penempatan Pertanian Melayu (MAS) di bawah Peraturan Penempatan Pertanian Melayu (Kuala Lumpur) 1950 dan dipinda pada 1954. Jadi, terdapat perbezaan nilai tanah MAS dengan tanah di Jalan Chow Kit yang berada di luar kawasan MAS Kampung Baru.

Selain harga pasaran yang akan dimuktamadkan semasa rundingan terus, penjual dan pembeli perlu menyelesaikan masalah pentadbiran tanah yang ada.

Kebanyakan tanah MAS mempunyai pemilik yang ramai atau dinamai pemilikan bertindih. Banyak lot tanah pula yang masih belum selesai isu pusaka, warisan dan faraid.

Penyelesaian semua perkara ini memerlukan kos dan masa yang agak panjang kecuali pihak kerajaan mengatur urusan pentadbiran tanah bagi menyelesaikannya dengan teratur dan cekap.

Terdapat juga kira-kira 100 lot tanpa pemilik yang bermakna pengambilan tanah menjadi satu alternatif. Barangkali perunding pentadbiran tanah atau perunding harta pusaka boleh membantu menyelesaikan masalah ini.

Kebanyakan pemilik tanah di Kampung Baru ingin mengekalkan pegangan tanah mereka supaya tidak terlepas kepada kaum lain. Mereka tidak menolak pembangunan yang dibawa kerajaan.

Justeru itu, satu alternatif yang paling baik adalah memajukan tanah di sana menggunakan konsep Bandar Wakaf. Oleh kerana wakaf tidak boleh dijual beli (secara umum kecuali pendapat ulama mengenai pajak) maka, hartanah wakaf akan menjadi benteng, penyelamat dan pelindung kepada ummah.

Selain itu, pelbagai bentuk mauquf (objek yang boleh diwakafkan) wakaf seperti wang tunai, hartanah dan rumah  yang boleh dimanfaatkan pemilik dan pihak yang berkepentingan. Pahala berwakaf pula akan mengalir hingga hari akhirat.

Walau apapun yang akan berlaku, pemilik tanah di Kampung Baru perlu berani menghadapi sebarang kemungkinan melalui persiapan dan persediaan ilmu pengetahuan tentang hartanah.

Pihak kerajaan pula perlu lebih rasional memberi peluang dan ruang supaya akhirnya pembangunan semula Kampung Baru dapat dijalankan dengan semua pihak berpuas hati atau situasi menang-menang.

* Prof Dr Ismail Omar , Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA) dan pensyarah kanan dalam bidang pengurusan hartanah di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia



6 penerbangan di LTSAS batal

tyrazalhe 

 

Lima stesen di Perak catat bacaan IPU tak sihat setakat 8 pagi

IPOH – Enam daripada 14 penerbangan yang dijadualkan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini terpaksa dibatalkan pada pagi ini disebabkan jerebu.

Pengurus LTSAS, Mohd Ali Osman berkata, penerbangan yang dibatalkan melibatkan laluan Johor Bahru-Ipoh-Singapura dan Singapura-Ipoh-Johor Bahru dari syarikat penerbangan Air Asia serta laluan Singapura-Ipoh-Singapura dari syarikat penerbangan tambang murah Singapura, FlyScoot.

“Jarak penglihatan adalah 2,000 meter setakat pukul 7 pagi ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, 747 penumpang terjejas akibat pembatalan penerbangan pada hari ini.

Pemeriksaan dalam portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara di semua lima stesen di Perak adalah pada tahap tidak sihat setakat pukul 8 pagi.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com.- Bernama


Kronologi jerebu di Malaysia

tyrazalhe  

 

Sarawak diisytihar darurat pada 1997 kerana bacaan IPU lebih 650

KUALA LUMPUR – Masalah jerebu yang melanda Malaysia dan beberapa negara Asia Tenggara ketika ini sehingga menjejaskan kehidupan harian serta aktiviti pembelajaran bukanlah sesuatu yang baru.

Malah, jerebu pada 1997 menyebabkan Malaysia mengisytiharkan darurat, manakala jerebu yang melanda pada 2015 pula dikatakan yang terburuk dalam sejarah negara.

Berikut adalah sebahagian kronologi kejadian jerebu yang dilaporkan berlaku di Malaysia :

1960 – Kali pertama jerebu dilapor berlaku disebabkan faktor tempatan seperti pembakaran terbuka, pembakaran bahan api dari industri perkilangan dan kenderaan.

1983 – Jerebu berlaku disebabkan fenomena El Nino dan pembakaran hutan di Kalimantan. Kualiti udara yang buruk juga menyebabkan beberapa penerbangan terpaksa dibatalkan.

1997 – Jerebu teruk dilaporkan berlaku apabila hampir seluruh negara diselaputi asap tebal selama hampir enam bulan, malah bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sesetengah kawasan melewati paras bahaya.

19 September 1997: Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan darurat jerebu di Sarawak apabila bacaan IPU melebihi 650 iaitu paras ‘berbahaya’ paling tinggi dalam sejarah. Ia merupakan perisytiharan darurat jerebu alam sekitar pertama dalam sejarah negara.

Operasi Haze dilaksanakan oleh pasukan bomba Malaysia bagi membantu pihak berkuasa Indonesia memadamkan kebakaran hutan dan kawasan perladangan di Sumatera dan Kalimantan.

ASEAN turut mengambil tindakan proaktif dengan meluluskan pembentukan sistem amaran awal dalam Pelan Tindakan Jerebu Serantau (Regional Haze Action Plan) pada 1998.

2014 – Bagi menangani masalah pembakaran terbuka yang menyumbang kepada jerebu dan kritikan daripada negara-negara jiran, Indonesia mengesahkan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan pada 2014 dan merupakan negara ASEAN yang terakhir yang berbuat demikian.

Singapura pula meluluskan undang-undang yang membolehkan negara itu mendakwa individu dan syarikat yang menyumbang kepada jerebu.

2015 – Jerebu yang melanda negara disifatkan sebagai yang terburuk dalam sejarah sehinggakan banyak sekolah terpaksa ditutup, selain penerbangan dan beberapa acara luar peringkat kebangsaan dibatalkan.

– 4 September 2015: Lembaga Pengurusan Bencana Nasional Indonesia mengisytiharkan darurat akibat jerebu di Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Penutupan sekolah akibat jerebu telah dilaksanakan di Indonesia, Malaysia dan Singapura dengan hampir empat juta pelajar di Malaysia dilaporkan terjejas.

Beberapa acara antarabangsa turut terjejas, misalnya Piala Dunia Renang FINA 2015 di Singapura dan Marathon Kuala Lumpur 
 
Selain itu, sebuah pesawat Bombardier CL415MP dan helikopter AS 365 N3 dauphin milik Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dihantar ke Sumatera Selatan bagi membantu operasi memadam kebakaran.

Pesawat itu melakukan 21 jam penerbangan dengan melepaskan 546,000 liter air di kawasan kebakaran seluas 60 batu nautika persegi di Sumatera Selatan, Indonesia dalam tempoh lima hari penugasan.

September 2019: Seperti tahun-tahun sebelumnya, jerebu kembali sekali lagi tahun ini yang berpunca daripada kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan. –

Pada Jumaat, sebanyak 2,649 sekolah di Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sarawak ditutup akibat jerebu sementara bilangan kes penyakit asma dan konjuntivitis didapati semakin meningkat berdasarkan pemantauan daripada 31 klinik sentinel jerebu.

Jabatan Alam Sekitar turut melakukan operasi pembenihan awam Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan juga Sarawak, terutamanya di kawasan-kawasan terjejas yang mempunyai bacaan IPU melebihi 150. – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengumumkan bahawa Malaysia telah menawarkan bantuan kepada Indonesia untuk menangani kebakaran hutan kerana ia mempunyai peralatan pengeboman air yang boleh digunakan.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) pula menyatakan ia menunggu ‘lampu hijau’ daripada Kabinet bagi mendraf Akta Jerebu Rentas Sempadan.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata akta ini adalah untuk mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat Malaysia yang telah mengakibatkan jerebu di luar negara, bukan sahaja di Indonesia.

Walaupun jerebu semakin teruk di rantau ini, Singapura pula mengambil keputusan meneruskan Perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) 2019 di litar jalanan Marina Bay Street hari ini.- Bernama


Sabtu, 21 September 2019

MyKad: Beberapa lagi kakitangan JPN bakal dicekup

Shamsul Munir Safini
 
 

Beberapa pegawai dan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang disyaki terbabit dalam sindiket penjualan MyKad di Pulau Pinang akan diburu sepanjang Op Biru Fasa Kedua.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan perkara itu selepas mengulas fasa kedua operasi dilancarkan Selasa lalu.

“Kita percaya beberapa lagi individu terbabit dan fasa kedua operasi ini, kita akan membuat beberapa lagi tangkapan susulan di negeri ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Balai Polis Bayan Baru, Bayan Lepas, hari ini.

Dalam kejadian 12 September lalu, enam lelaki termasuk seorang berpangkat Datuk dan seorang Penolong Pengarah JPN berdepan 32 pertuduhan menjual MyKad sah kepada warga asing.

Fasa pertama Ops Biru berjaya menahan 20 individu susulan pembongkaran seorang warga China yang cuba memohon pasport menggunakan MyKad sah di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang pada 16 Mei lalu.

Pengkritik ECRL boleh runding dengan China, sindir PM


   

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menolak cadangan agar kontrak bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan China ditangguhkan.

"Mereka (pengkritik projek) boleh berunding (sendiri). Jika mereka sanggup berunding dengan orang Cina dan beritahu saya bahawa (orang Cina) akan gantung (projek itu), saya akan ikut," kata Mahathir selepas melancarkan Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air di Kuala Lumpur.

Mahathir berkata demikian ketika ditanya berhubung cadangan Penasihat Penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Prof Jomo Kwame Sundaram agar kerajaan menangguhkan projek itu susulan keterangan yang timbul pada perbicaraan rasuah melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazrudin baru-baru ini memberitahu mahkamah bahawa projek ECRL adalah antara projek yang dirancang untuk menyelamatkan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Sehubungan itu, Jomo memberitahu sebuah forum semalam bahawa projek bernilai RM44 bilion itu adalah "penipuan" dan Presiden China, Xi Jinping tidak mahu dikaitkan dengan rasuah antarabangsa.
Mahathir mendakwa bahawa Jomo, yang pernah berkhidmat dalam Majlis Penasihat Kerajaan hanya menyatakan pendapat peribadi.

"Itu pendapatnya. Tetapi kerajaan China tidak beritahu kita apa-apa.

"Ini mungkin (dilakukan untuk selamatkan 1MDB) tapi kita ada kontrak untuk bangunkan dan membinanya. Seperti yang kamu tahu, kita telah kurangkan skop dan kos," kata Mahathir.

Projek ECRL dilancarkan semula oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) Julai lalu dengan laluan berbeza dan pada kos sebanyak RM44 bilion, hampir separuh daripada kos awal sebanyak RM81 bilion.

Sebelum perbicaraan, Najib menafikan tuduhan bahawa ECRL dan projek-projek lain yang dikontrakkan kepada firma-firma China bertujuan untuk menyelamatkan 1MDB yang bermasalah.


'Gaya hidup, judi internet faktor penjawat awam terjerumus rasuah'

MALAYSIAKINI

   

Faktor gaya hidup tinggi serta berbelanja di luar kemampuan antara penyebab penjawat awam terjebak dalam rasuah, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Sinar Harian memetik Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Shamshun Baharin Mohd Jamil yang berkata aktiviti judi internet juga mampu jadi penyebab penjawat awam terlibat dengan rasuah dan juga terbeban ekoran berhutang dengan ceti haram.

"Kenapa kadang-kadang mereka terlibat dalam rasuah walaupun mereka bekerja sebagai penjawat awam? Pertama, kalau kita lihat yang berlaku, salah satu faktornya kerana mahu kekalkan gaya hidup, berbelanja di luar kemampuan.

“Kalau pakai jam, jam yang paling mahal. Kadangkala ada yang berharga RM600,000 yang buat kita fikir tidak munasabah penjawat awam pakai jam sebegitu,” katanya dalam program Bicara Minda Sinar Harian.


Beliau yang berkhidmat 35 tahun dengan SPRM juga berkata bahawa permainan judi internet yang berlaku dalam kalangan penjawat awam itu adalah susulan dunia teknologi maklumat (IT) yang membuka ruang kepada aktiviti tersebut.

“Itu pun membimbangkan sebab ada berlaku penjawat awam terlibat dengan judi internet, akhirnya mereka terbeban dengan hutang, pinjam ah long dan mungkin juga akhirnya akan terlibat rasuah apabila ruang dan peluang itu ada.

“Kalau diambil kira daripada peringkat awal usaha pencegahan rasuah, yang pentingnya adalah kebersamaan.

“Kita jangan lihat isu rasuah hanya entiti SPRM perlu menanganinya tetapi kita semua sebagai rakyat. Kita mesti ada perasaan tanggungjawab,” katanya.

Beliau menyarankan supaya aktiviti rasuah bukan sahaja ditangani SPRM tetapi juga rakyat.

“Sekiranya kita melihat perkara itu (rasuah) berlaku depan mata, kita mesti laporkannya.

“Jangan disebabkan kita fikir malas ke mahkamah, malas nak laporkan kepada SPRM kerana ada banyak karenahnya nanti, jangan fikir begitu,” katanya.


Tembak tayar kereta suspek

Recqueal Raimi
 
 

TINDAKAN lelaki memandu secara berbahaya sehingga merempuh kenderaan polis merungkai rahsia dia membawa syabu, di simpang Pekan Goshen, di Kota Marudu, semalam.

Pada kejadian 12 tengah hari itu, polis berjaya memberkas suspek, lelaki warga Filipina berusia 42 tahun, apabila kereta itu terbabas selepas polis melepaskan tembakan ke tayar kenderaan terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, sebelum kejadian, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu, cuba menahan seorang lelaki yang berada di dalam kereta di parkir berhampiran sebuah pasar raya.

“Bagaimanapun, suspek terus memecut kenderaan sebelum pasukan polis mengejarnya lalu mengarahkan lelaki untuk berhenti.

“Suspek yang tidak mempedulikan arahan terus memecut laju sehingga melanggar dengan menghimpit kenderaan polis,” katanya dihubungi hari ini.

Menurut Mohd Izaan, tindakan suspek yang memandu secara berbahaya selain dikhuatiri membahayakan pengguna jalan raya lain menyebabkan salah seorang anggotanya melepaskan tembakan pada tayar kereta suspek.

“Tembakan itu menyebabkan suspek terbabas ke dalam parit di bahu jalan sebelum berjaya ditahan dan dibawa ke IPD Kota Marudu.

“Hasil pemeriksaan kereta suspek juga, polis menemui syabu seberat 20 gram.Ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kena siasat Forum ‘Naratif Malaysia Baharu’

fazleen safina 

 

Siasat juga Prof James, kumpulan pemisah Sabah, Sarawak


BANGI– Pusat Penyelidikan PAS (PPP) menggesa pihak berkuasa menyiasat Forum ‘Naratif Malaysia Baharu’ yang dipercayai menyebarkan misi fahaman pelampau Kristian – Evangelicals Christian dan Dominionism – yang dianjurkan baru-baru ini.

Lebih membimbangkan, Pengarah PPP, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, forum berkenaan turut mempromosi gagasan pemisahan Sabah dan Sarawak dari Persekutuan Malaysia.

Forum ‘Naratif Malaysia Baharu yang diadakan di Mega Chinese Methodist Church pada 14 September lalu, dicanangkan oleh wakil Majlis Gereja Malaysia, Herman Shastry dan seorang ahli parti DAP, Steven Sim.

“Hakikatnya, inilah yang dilakukan oleh salah seorang panelisnya, iaitu Prof James Chin, warganegara Malaysia yang berasal dari Kuching, Sarawak, dan kini memegang jawatan Pengarah the Asia Institute di University of Tasmania, yang mempromosikan persidangan antarabangsa satu kumpulan pemisah Sabah dan Sarawak di Melbourne, Australia, pada 22 September ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Bimbang dengan perkara itu, Zuhdi berkata, Prof James bukan sahaja menawarkan tiket percuma kepada sesiapa sahaja yang mahu menyertai persidangan antarabangsa itu, malah beliau turut mendakwa bahawa kumpulan-kumpulan pemisah Sabah dan Sarawak juga mempunyai sokongan di peringkat antarabangsa.

Justeru, beliau mendesak supaya pihak berkuasa menyiasat pembabitan Prof James dengan kumpulan pemisah Sabah dan Sarawak dan seterusnya menyiasat sejauh mana negara luar menyokong kumpulan pemisah dua negeri berkenaan.

Pada masa sama, Dr Mohd Zuhdi juga mendedahkan transkripsi Prof James : “What is also very interesting in the last 10 years is that many of these secessionist movements actually have international dimension to it. They have supporters outside Malaysia. They set up groups outside to support them. So on 22nd of this month (September), there will actually be a conference, an international conference convened by the secessionist movements. They got to hold it in Melbourne and they got to discuss the future of Sabah and Sarawak outside the federation. So if you are in Melbourne on 22nd of September, come and see me, I will give you the ticket to attend it, FOC, free of charge.”
 
 

Usaha perkasa identiti negara elak generasi muda buta sejarah

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

 

Unit Kajian Sejarah Isma anjur 'Wacana Sejarah dan Peradaban Melayu'

SUNGAI PETANI– Usaha memperkasakan identiti negara melalui penerokaan naratif sejarah yang sebenar dan absah perlu dilakukan dengan agresif supaya generasi muda tidak buta sejarah dan dapat memahami pemikiran sejarah dalam kerangka yang lebih menyeluruh.

Sehubungan itu, Unit Kajian Sejarah Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) hari ini mengadakan ‘Wacana Sejarah dan Peradaban Melayu: Sulalat’ sebagai batu pelonjak kepada usaha yang lebih serius dan dalam skala lebih besar ke arah memperkukuhkan identiti serta jati diri negara berteraskan Melayu dan Islam.

Wacana Sejarah dan Peradaban yang berlangsung di The Jerai Hotel Sungai Petani menampilkan tokoh sejarah dan bekas pensyarah kanan pusat pengajian ilmu kemanusiaan Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Abdul Rahman Haji Ismail.

Antara objektif wacana ini termasuklah:

1. Memahami konsep sebenar sejarah dan pensejarahan bangsa Melayu bagi mengukuhkan jati diri dan identiti negara;

2. Mengukuhkan ikatan bangsa Melayu dengan akar sejarahnya yang panjang dan warisan peradabnnya yang mengkagumkan;

3. Mengetengahkan manuskrip lama Melayu sebagai usaha pemugaran warisan khazanah sejarah bangsa dan budaya;

4. Melahirkan kesedaran mengenai ancaman penyimpanan naratif sejarah yang bercanggah dengan identiti dan jati diri negara dan;

5. Memupuk minat dan kecintaan kepada pengkajian sejarah peradaban bangsa Melayu.

Penyelidik Unit Kajian Sejarah Isma, Ustaz Noorzamri Ibrahim berkata, negara memerlukan satu pandangan baharu terhadap sejarah memandangkan situasi sekarang pelbagai pihak cuba mengentengahkan pandangan mereka, bahkan sehingga tahap meletakkan satu pandangan yang kemungkinan memaksa rakyat untuk mengikut.

“Perkara ini sangat serius dan kritikal pada ketika ini. Justeru kita rasa ini masa yang sesuai untuk kita mendapatkan sumber-sumber dan bertemu tokoh yang berautoriti dalam membincangkan isu sejarah ini,” katanya ketika ditemui Ismaweb.net di sini, hari ini.


'Turunkan harga rumah untuk pembeli asing beri mesej salah'

MALAYSIAKINI

   

Langkah menurunkan harga lantai untuk pembeli hartanah asing akan menghantar isyarat yang salah kepada pemaju, kata Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA).

Dalam satu kenyataan, setiausaha agungnya Chang Kim Loong berkata cadangan yang dibuat kerajaan Johor itu sebaliknya akan menyebabkan pemaju hartanah menyasarkan pembeli warga asing.

"Ini secara tidak langsung membuatkan pemaju perumahan di Johor menaikkan harga hartanah dalam lingkungan RM400,000 hingga RM500,000 melangkaui RM600,000 untuk mendapatkan pasaran di Singapura yang lumayan dan menyebabkan penduduk tempatan terpinggir daripada pasaran perumahan di Johor.

"Adakah ini yang kerajaan Johor mahu? Kewajipan setiap kerajaan adalah untuk memastikan rakyat mereka mempunyai akses kepada perumahan mampu milik dan bukan membantu warga asing membeli hartanah pada harga yang lebih murah berbanding negara asal mereka," kata Chang.

Chang berkata kerajaan negeri perlu menyerahkan isu pasaran hartanah mewah yang tak terjual di negeri itu kepada pemaju.

"HBA mengambil maklum masalah hartanah mewah yang belum terjual tetapi masalah ini disebabkan oleh ketamakan pemaju sendiri yang mengabaikan permintaan untuk hartanah berpatutan.

"Oleh itu, pemaju yang perlu menyelesaikan masalah mereka sendiri. Mereka perlu memikirkan cara seperti menawarkan diskaun atau insentif lain untuk menarik pembeli tempatan," katanya.

Harga lantai di Johor untuk pembeli hartanah asing pada masa ini adalah sebanyak RM1 juta.

Kerajaan negeri bercadang menurunkan harga lantai dalam menangani isu hartanah yang belum dijual.

Johor mempunyai jumlah tertinggi hartanah siap tetapi masih belum terjual di negara ini iaitu sebanyak 6066 unit sehingga Mei lalu.

Kerajaan Johor berkata kebanyakan unit berharga RM500,000 ke atas.


'Sokongan Hadi tak diperlukan untuk angkat Anwar jadi PM'

MALAYSIAKINI

   

Naib Ketua Pemuda PKR (AMK) Syed Badli Shah Syed Osman berkata Pakatan Harapan (PH) tidak memerlukan sokongan daripada Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk membolehkan Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

“Kenyataan Presiden PAS yang menolak konsensus PH tidak mendatangkan sebarang kesan langsung kepada PH.

“Kenyataan yang berbaur angkuh dan lucu ini tidak sepatutnya dikeluarkan oleh presiden sebuah parti yang tiada kepentingan dalam gabungan parti-parti kerajaan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sebaliknya, kata Syed Badli, Abdul Hadi sepatutnya menjelaskan kepada akar umbi PAS tentang penyatuan dengan Umno yang selama ini dianggap sebagai musuh ketat parti itu.

Syed Badli berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Abdul Hadi semalam yang menolak konsensus PH yang mencadangkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri seterusnya.

Abdul Hadi sebelum ini berkata Dr Mahathir Mohamad harus terus kekal sebagai perdana menteri sehingga habis penggal menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Sementara itu, mengulas lanjut, Syed Badli yang menyifatkan PAS sebagai "kuda tunggangan Umno" berkata, Anwar akan tetap diangkat sebagai perdana menteri berdasarkan janji dan prinsip yang dipegang oleh PH.

“Tambahan lagi Mahathir juga telah menyatakan komitmennya terhadap transisi jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim.

“Justeru itu Abdul Hadi Awang tidak perlu membuang masa dengan urusan parti lain sebaliknya beliau perlu membuktikan bahawa PAS bukanlah kuda tunggangan Umno,” katanya.


Isu Memali timbul untuk pecahkan PAS-Umno, kata anak mangsa


   

Tiga puluh empat tahun sudah berlalu, namun peristiwa hitam yang dilalui penduduk Kampung Memali di Baling Kedah masih segar dalam ingatan.

Rata-rata penduduk berpendapat insiden yang berlaku pada tanggal 19 Nov 1985 itu bukan isu kecil dan tidak mudah dilupakan.

Bagi Mat Isa Abdul Rahman, 47, amat mustahil melupakan kejadian itu lebih-lebih lagi apabila ia mengorbankan bapanya sendiri.

"Tragedi pahit kita tak akan lupa. Ia akan kekal dalam ingatan kami. Kalau kata kita lupa (tragedi) itu, saya bodohlah.

"Sebab dalam kejadian itu, arwah ayah saya menjadi mangsa sekali. Tetapi kita nak dendam pun setakat mana? Islam mengajar kita supaya tak berdendam tetapi salah tetap salah," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun Mat Isa berkata isu itu cuba ditimbulkan semula untuk memecahbelahkan penyatuan ummah antara PAS dan Umno.

"Itu politik, saya fikir itu hanya propaganda politik PH untuk pecah belahkan Umno-PAS," katanya.

Peristiwa Memali bermula apabila pihak polis cuba menahan tokoh agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya di bawah Akta Keselamatan Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa menyebarkan ajaran sesat. 
Insiden yang berlaku di Kampung Charok Putih Siong itu mengorbankan 18 orang - termasuk 14 ahli dan penyokong PAS serta mencederakan berpuluh-puluh yang lain.

Manakala beratus-ratus orang ditahan di bawah ISA.

Dr Mahathir Mohamad pada masa itu merupakan perdana menteri, manakala timbalannya ialah Musa Hitam yang juga Menteri Dalam Negeri.




Isu Memali kembali mencuri tumpuan baru-baru ini apabila Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan menjelaskan partinya kini menganggap tragedi itu sebagai "kecil" dengan adanya kerjasama politik dengan Umno.

Takiyuddin berkata demikian ketika ditanya mengenai penerimaan keluarga mangsa Memali terhadap penyatuan kedua-dua parti itu.

'Mahathir sangat jahat'

Bagi balu allahyarham Ibrahim Libya, Solehah Husain, 66 sehingga kini beliau masih tidak dapat memaafkan Mahathir kerana peristiwa berdarah itu.
"Mak cik tak boleh cerita pasal perkara ini. Bila cerita mak cik akan sedih dan sangat sedih.

"Balu-balu mangsa tragedi Memali memang tak berpuas hati dengan apa yang berlaku dan kami rasakan Mahathir sangat jahat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Memali PAS Kedah, Muhamad Yusof Husin berkata tragedi hitam itu tetap merupakan suatu sejarah yang tidak boleh dilupakan.

Namun katanya, Himpunan Penyatuan Ummah yang berlangsung pada 13 dan 14 September lalu melibatkan agenda lebih besar untuk menyelamatkan Malaysia, Islam dan orang Melayu yang wajar disokong.

"Penyatuan yang berlaku itu adalah perpaduan untuk umat Islam dan demi negara, memandangkan suasana politik sekarang ini.

"Jadi ia satu agenda besar yang dilakukan pimpinan (PAS dan Umno) untuk penyatuan orang Melayu, untuk pembelaan agama Islam dan untuk rakyat secara keseluruhan, termasuk lain-lain kaum," katanya kepada Malaysiakini.


Ahli parlimen Tanjung Piai meninggal dunia

MALAYSIAKINI

   

Ahli Parlimen Tanjung Piai Mohamed Farid Md Rafik, 43, meninggal dunia awal pagi ini.

Allahyarham yang juga merupakan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia sekitar 6.00 pagi tadi di Hospital Pontian, Johor.

Naib Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai itu mengalahkan calon MCA Wee Jee Seng dengan majoriti tipis 524 undi pada pilihan raya umum tahun lepas.

Mohamed Farid meraih 21,255 undi, sementara Wee mendapat 20,731 Wee.

Calon lain yang bertanding di kerusi itu ialah Nordin Othman dari PAS yang mendapat 2,962 undi.
Tanjung Piai, yang terletak di barat daya Johor, dianggap sebagai kerusi tipis PH.

Berita Harian melaporkan Menteri Besar Johor Sahruddin Jamal sebagai berkata bahawa Farid dipercayai mengalami serangan jantung.

Pakar anestesiologi itu menyertai Bersatu pada 2017.

Allahyarham dilihat sebagai individu yang memainkan peranan penting dalam menubuhkan dan mengembangkan Bersatu di Tanjung Piai, yang sebelum ini dilihat sebagai kubu kuat BN.


Jumaat, 20 September 2019

80 AGM kawasan parti Amanah terbatal?

Wartawan MalaysiaGazette
MGF28022017_Rundingan-Kerusi-PRU14-1
Sebanyak 148 Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) termasuk perjngkat kawasan, sayap pemuda dan wanita Parti Amanah Nasional (Amanah) dibatalkan di seluruh negara kecuali Sabah.
 

KUALA LUMPUR – Sebanyak 148 Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) termasuk peringkat kawasan, sayap pemuda dan wanita Parti Amanah Nasional (Amanah) dibatalkan di seluruh negara kecuali Sabah.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 81 yang terbatal melibatkan AGM peringkat kawasan, manakala 32 AGM bagi Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN), dan 35 AGM bagi sayap pemuda parti itu.

Perkara itu dimaklumkan oleh sumber yang juga merupakan salah seorang ahli jawatan kuasa pusat parti itu.

Turut dimaklumkan, di beberapa kawasan, terdapat penubuhan sayap pemuda parti itu yang turut dibatalkan.

Antara yang dinyatakan, sebanyak 2 penubuhan Pemuda Amanah telah dibatalkan di Kelantan, 4 di Pulau Pinang dan 5 di Selangor, manakala bagi negeri-negeri lain masih tidak dapat dipastikan jumlah sebenar pembatalan berkenaan.

amanah
Sehubungan itu, satu Taklimat Khas Organisasi akan diadakan di Shah Alam esok berhubung dengan pembatalan-pembatalan tersebut melalui satu surat yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Agung parti itu.

Setiausaha Agung AMANAH, Mohd Anuar Mohd Tahir ketika cuba dihubungi bagi mendapatkan maklum balas berkenaan perkara itu, tidak menjawab panggilan telefon. – MalaysiaGazette

‘Kami jadi daif sekelip mata’

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF19092019_Tinjauan-Rumah-Roboh-Paya-Jaras_14-1
Sebahagian penduduk terpaksa berteduh di penempatan sementara yang disediakan oleh penduduk kampung selepas rumah mereka dirobohkan oleh Kerajaan Selangor di Paya Jaras Hilir, Selangor. foto IQBAL BASRI
 

SUNGAI BULOH – Penduduk Paya Jaras Hilir yang menghuni khemah sementara selepas rumah mereka dirobohkan kerajaan Selangor berharap agar penderitaan yang dialami tidak akan berpanjangan.

Rata-rata penduduk yang menjadi mangsa dan penghuni khemah yang didirikan oleh Pas kawasan Sungai Buloh memberitahu, mereka tidak pernah terfikir menjadi insan sedaif itu dalam sekelip mata.

Malah, perkara yang sangat dibimbangi mereka ketika ini ialah tentang tahap kesihatan ekoran terpaksa tinggal di khemah yang tidak berdinding dan terdedah kepada serangan nyamuk selain faktor keselamatan.

Seorang penduduk, Holilah Ahmad Akir, 32, berkata, tinggal bersama tiga anaknya yang masih kecil di khemah itu sememangnya menyeksakan.
MGF20092019_RUMAH-ROBOH-PAYA-JARAS_10
Holilah Ahmad Akir
Katanya, mereka terpaksa mendapatkan ihsan daripada jiran-jiran untuk mandi dan membuang air kerana tidak ada kemudahan tandas disediakan kepada penghuni khemah tersebut.

“Kami risau dengan budak-budaklah. Sebelum ini di sini tiada kipas, baru malam tadi disediakan. Memang panas tinggal di sini.

“Baru tadi disediakan bantal dan selimut untuk kami guna pada malam ini. Alhamdulillah, ramai yang simpati terhadap nasib kami yang tinggal di sini,” katanya.

Sarina Syarifuddin, 25, pula berkata, tidak pernah terlintas difikirannya untuk tinggal dalam khemah seperti itu bersama dua anaknya yang salah seorang daripadanya baru berusia tiga bulan.
MGF20092019_RUMAH-ROBOH-PAYA-JARAS_13
Sarina Syarifuddin
Ujarnya, dia kasihan dengan anak-anaknya itu yang terpaksa berdepan dengan situasi sukar dan tidak selesa.

“Dalam keadaan getir ini suami saya cuma mengingatkan kepada saya supaya bersabar dalam menghadapi cubaan besar ini. Apa lagi yang kami boleh buat kalau sudah ditakdirkan begini,” katanya yang telah tinggal di situ sejak 16 tahun lalu.

Sementara itu, Mohd. Azman Emewan, 27, pula sedih dengan nasib yang terpaksa ditempuh oleh isteri dan tiga anaknya.

Katanya, dia tidak ada sebarang perancangan kerana masih kebingungan dengan situasi yang dialami.
“Saya tak nampak lagi lepas ini hendak ke mana. Memang belum boleh berfikir.
MGF20092019_RUMAH-ROBOH-PAYA-JARAS_16
Mohd Azman Emewan
“Saya hanya mengharapkan agar kerajaan negeri sekarang ini menyediakan rumah yang selesa buat kami semua,” katanya yang tinggal di rumah peninggalan ayahnya bersama adik beradik dan ibunya yang sedang uzur sebelum ia dirobohkan. – MalaysiaGazette


Bicara kes saman Azeez terhadap Lim bermula 15 Nov

MALAYSIAKINI

   

Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan empat hari bermula 15 Nov depan untuk perbicaraan kes saman Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung kenyataan dalam isu pembinaan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Hakim Rosilah Yop menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes berkenaan yang dihadiri peguam Felix Lim yang mewakili Guan Eng.

Mahkamah menetapkan perbicaraan bermula pada 15 dan 19 Nov untuk pihak plaintif memberi keterangan manakala 9 hingga 10 Dis bagi pihak defendan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Terdahulu, Lim memaklumkan hari ini sepatutnya tarikh bicara kes berkenaan, namun perbicaraan pada hari ini telah dilapangkan atas permohonan plaintif.

Lim ketika ditemui pemberita memaklumkan peguam Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang mewakili Abdul Azeez tidak dapat hadir pada prosiding hari ini berikutan mempunyai masalah kesihatan.

Dalam penyataan tuntutannya yang dikemukakan pada Mac tahun lepas, Abdul Azeez mendakwa Guan Eng mengeluarkan kenyataan fitnah masing-masing pada sidang media di pejabat Ketua Menteri di Komtar pada 28 Feb 2018 dan di majlis sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang pada tarikh sama yang mengaitkan Abdul Azeez dengan bayaran perundingan RM3 juta oleh pemaju projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Abdul Azeez selaku plaintif mendakwa kenyataan itu telah mendapat liputan yang meluas serta diterbitkan dalam beberapa laman sesawang, laman berita elektronik dan akhbar-akhbar tempatan selain turut disiarkan di beberapa halaman akhbar dan media sosial defendan.

Plaintif mendakwa saman itu dibuat berikutan kenyataan itu telah menyebabkan Abdul Azeez mengalami kerosakan yang amat dahsyat terhadap reputasi dan nama baiknya di samping terpaksa mengalami keaiban, kebencian yang amat sangat serta penghinaan daripada orang awam.

Sehubungan itu, Abdul Azeez memohon ganti rugi am termasuk ganti rugi pampasan, teladan, ganti rugi tambahan, kos tindakan dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah selain turut memohon suatu perintah untuk penerbitan balik kenyataan menyinggung berhubung isu terowong dasar laut itu serta permintaan maaf awam di dalam akhbar dan media elektronik tempatan.

Beliau juga memohon injuksi bagi menghalang defendan daripada terus menerbitkan, membolehkan atau menyebabkan kenyataan-kenyataan menyinggung berkenaan diterbitkan.- Bernama


Bicara kes rasuah Bung Moktar, Zizie Izette bermula 2 Jan 2020

MALAYSIAKINI

   

Perbicaraan kes Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isterinya, Zizie Izette A Samad yang didakwa atas tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad, akan bermula 2 Jan 2020.

Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob menetapkan 23 hari bermula 2, 3, 10,17, 24, 29 dan 30 Jan tahun depan untuk perbicaraan.

“Perbicaraan juga ditetapkan pada 7,14, 21 Feb ; 16 hingga 20 Mac; 23 hingga 26 Mac ; 30, 31 Mac dan 10, 17 April 2020. Saya berharap pihak pendakwaan akan menyerahkan semua dokumen dan penyataan saksi kepada pasukan pembelaan pada pertengahan Disember," katanya semasa sebutan kes itu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan akan memanggil 30 saksi semasa perbicaraan dan pihaknya juga selesai menyerahkan kesemua dokumen kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Peguam K Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette, 41, dan peguam M Athimulan bertindak bagi pihak Bung Moktar, 60, yang nama sebenarnya Moktar Radin masing-masing mengesahkan kesemua dokumen telah diterima.

Pada 9 Ogos lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes rasuah Bung Moktar dan isterinya yang merupakan seorang pelakon ke Mahkamah Tinggi.

Pada 3 Mei lepas, Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Izette.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di Kuala Lumpur, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015 dan semua pertuduhan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.- Bernama


Petronas umum pelan penggantian susulan peletakan jawatan Anuar Taib

MALAYSIAKINI


  
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan mengumumkan pelan penggantian tidak lama lagi berikutan peletakan jawatan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Huluan Datuk Mohd Anuar Taib.

Pengerusi Datuk Ahmad Nizam Salleh hari ini turut mengesahkan Mohd Anuar akan meninggalkan syarikat minyak nasional itu minggu ini.

“Petronas mempunyai dasar pengekalan yang kuat, tetapi kami menghormati pilihan peribadi. Datuk Mohd Anuar telah memaklumkan kepada kami bahawa beliau mempunyai keutamaan peribadi (untuk meninggalkan Petronas), saya menghormati itu.

“Kami mempunyai pelan penggantian yang kukuh, dan langkah (peletakan jawatan Mohd Anuar) tidak memberi apa-apa impak kepada pelan perniagaan kami pada masa depan,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman prestasi kewangan separuh tahun Petronas berakhir 30 Jun, 2019, di Kuala Lumpur hari ini.

Laporan berita mengenai peletakan jawatan Mohd Anuar mula timbul pada Jun tahun ini, bagaimanapun, syarikat minyak nasional itu menafikannya.

Dilaporkan Mohd Anuar akan meninggalkan Petronas atas sebab peribadi.

Mohd Anuar, 51, membina kerjayanya dalam industri itu di syarikat minyak antarabangsa Shell dan menjadi Naib Presiden bagi Upstream International Asia dan Pengerusi Shell Malaysia sebelum menyertai Petronas pada 2012.- Bernama


Islam iktiraf pejuang tanah air mujahid agama, negara

fazleen safina

 

Perjuangan dan jasa perajurit dahulu tiada galang ganti: Khutbah

BANGI – Rakyat khususnya generasi muda diminta menyelami serta mengambil iktibar keberanian dan semangat keperwiraan ditunjukkan perajurit yang sentiasa di barisan hadapan mempertahankan negara pada satu masa dahulu.

Menerusi Khutbah Jumaat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, dengan kemakmuran negara yang dikecapi hari ini, ramai yang tidak sedar pengorbanan dan perjuangan golongan perajurit yang tiada galang gantinya demi memastikan negara bebas daripada penjajah dan ancaman musuh.

“Pemergian mereka adalah kehilangan yang cukup dirasai serta tiada galang gantinya. Jasa mereka tidak sewajarnya kita lupakan, kerana kita tidak akan kecapi apa yang ada kini sekiranya bukan kerana pengorbanan mereka,” kata Jakim.

Dalam pada itu khutbah berkata, Islam mengiktiraf pahlawan tanah air ini sebagai mujahid agama, bangsa dan negara.

Oleh itu katanya, pahlawan hendaklah meletakkan setiap langkah dan gerak laku dalam perjuangan mereka sebagai amalan yang ikhlas dan penuh tanggungjawab agar mereka mendapat penghormatan ketika hidup di dunia dan anugerah yang besar daripada Allah pada hari akhirat kelak.

“Segala perjuangan para pahlawan yang terdiri daripada pasukan keselamatan iaitu tentera dan polis yang mempertahankan negara adalah satu tugas yang sangat mulia, kerana perjuangan mereka dipenuhi pelbagai dugaan.

“Kalau kita lihat perjuangan yang ditunjukkan oleh Rasulullah ﷺ dan para sahabat dengan penuh semangat dan kesungguhan.

“Mereka telah menempuh segala cabaran dan rintangan sehingga kuasa-kuasa besar pada masa itu pun tunduk di bawah kekuasaan Islam. Kejayaan mereka ini adalah berdasarkan tiga faktor utama.

“Pertama, segala kejayaan dan kecemerlangan mereka adalah hasil daripada pertolongan Allah. Kedua, sifat berdisiplin, amanah, jujur dan ikhlas adalah di antara sifat-sifat utama yang mendasari kejayaan mereka di dalam setiap perjuangan. Dan yang ketiga, sikap sentiasa mematuhi perintah Allah dalam setiap keadaan sama ada ketika senang atau susah,” kata Jakim.

Pada masa sama, mimbar menyeru umat Islam menyemarakkan kembali janji untuk beriltizam di atas prinsip-prinsip kebenaran yang didukung oleh Islam sebagai wadah bagi memastikan keberadaan kita di dunia yang fana ini tidak tergelincir dari garisan ibadah.

“Marilah kita sama jalinkan kekuatan, bina kombinasi mapan, sempurnakan amanah dan peranan, hiaskan diri dengan kesopanan, tingkatkan pengorbanan dan kesiapsiagaan demi kedaulatan agama dan tanah air,” katanya.


13 premis makanan diarah tutup

fazleen safina

 

Kesalahan termasuk hurungan tikus, lipas, markah kurang 65 peratus

SHAH ALAM– Sebanyak 13 buah premis menjual makanan di Ulu Yam, Rasa dan Batang Kali di daerah Hulu Selangor diarah tutup, selepas Ops Premis Bersih Bersepadu Daerah Hulu Selangor pada Rabu lepas kerana beroperasi dalam keadaan kotor, dengan kehadiran tikus dan lipas di premis berkenaan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, kesemua premis yang diarah tutup itu telah diberi tempoh selama 14 hari untuk melakukan kerja-kerja pembersihan mengikut Seksyen 10 dan 11 Akta Makanan 1983.

“Antara kesalahan yang dilakukan oleh kesemua premis yang diarah tutup ini adalah lima premis terdapatnya hurungan tikus, sebuah premis terdapat hurungan lipas manakala tujuh premis lagi ditutup kerana markah penilaian kebersihan semasa pemeriksaan yang diperoleh kurang daripada 65 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Khalid berkata, dalam operasi bersepadu itu, sebanyak 98 buah restoran dan kedai makanan telah diperiksa.

“Sebanyak 113 notis membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009, turut telah dikeluarkan kepada pemilik premis dan juga pekerja premis dengan jumlah keseluruhan nilai tawaran kompaun sebanyak RM 60,900.

“Operasi berkenaan turut mengenal pasti seramai 59 pengendali makanan yang bekerja di restoran dan kedai makanan yang tidak memiliki sijil latihan pengendali makanan, dan seramai 63 orang tidak mendapatkan suntikan tifoid, kesemua kesalahan ini turut diambil tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Katanya, operasi berkenaan diselaraskan oleh Unit Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor, membabitkan seramai 81 orang pegawai dan mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

JKN Selangor akan sentiasa mengadakan operasi di seluruh negeri bagi memastikan pengusaha dan pengendali makanan mematuhi peruntukan undang-undang dan makanan yang disediakan adalah selamat untuk dimakan.

“Orang ramai adalah dialu-alukan untuk menghubungi JKN Selangor sekiranya mempunyai aduan berkenaan premis makanan kotor atau terdapat produk makanan yang rosak yang djual di negeri ini,” katanya. -Bernama


Produk muslim kualiti tinggi

fazleen safina

 

Doktrin negatif media sosial punca rakyat sangka buruk produk Melayu

BANGI– Kualiti produk yang dihasilkan oleh bangsa Melayu setanding dengan produk daripada kaum lain, kata Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Haji Aminuddin Yahaya.

Beliau kesal apabila wujud doktrin negatif di media sosial, yang menjadi punca rakyat di negara ini turut terpengaruh dengan sebaran buruk terhadap produk buatan Melayu.

“Berkaitan dengan kualiti, ini hanya segelintir sahaja. Saya tak nafikan memang peniaga Cina pun ada kualiti tak bagus, peniaga India pun sama, hatta peniaga Barat pun ada kualiti tak bagus dan ia bukan membabitkan orang Melayu sahaja.

“Tapi disebabkan segelintir ini berserta doktrin yang ada di kepala kita mengatakan orang Melayu ni lemah, tak pandai dan sebagainya, menyebabkan kita kata, seolah-olah semua produk Melayu ini tiada kualiti,” katanya.

Haji Aminuddin yang juga Pengerusi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menyarankan bahawa persepsi buruk itu perlu dibuang jauh supaya produk Melayu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi bersama produk kaum lain.

Justeru, beliau mencabar orang Islam supaya melihat sendiri cara memproses produk Melayu seperti sos cili dan sardin.

“Anda boleh beritahu saya jika mereka tiada kualiti.

“Kalau ada sikit-sikit itu biasa sahaja, lagipun kita pun sudah terbiasa dengan sos cili yang dibuat oleh orang Ciana kadang-kadang busuk, berulat dan sebagainya. Ianya juga sudah banyak kali keluar dalam akhbar,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa walaupun produk-produk yang dihasilkan oleh bukan Islam mempunyai logo halal, namun terdapat juga elemen dan perkara tidak halal dicampurkan dalam produk mereka.

“Dan ini sesuatu yang boleh dielakkan jika kita beli produk Muslim,” katanya.

Kempen Beli Produk Muslim dilancarkan UMMAH dengan kerjasama Koperasi Al-Hilal Berhad (Kohilal) dan ABATA Commerce Sdn Bhd, adalah suatu altenatif bagi mengangkat dan mempromosikan barangan dan produk keluaran muslim.

Ia juga dilancarkan bagi meningkatkan kuasa beli dan aliran ekonomi ummah selain mengetengahkan produk serta perkhidmatan yang halal di seluruh negara.


PAS tetap tolak Anwar jadi PM, kata Hadi

MALAYSIAKINI

   

Persiden PAS, Abdul Hadi Awang menolak konsensus Pakatan Harapan yang mencadangkan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri seterusnya menggantikan Dr Mahathir Mohamad.

Sebaliknya, katanya, Dr Mahathir harus terus kekal sehingga habis penggal menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

"(Sedangkan) Anwar, parti dia sendiri pun (PKR) tak terima dia, ini macam mana?

“Pecah dua dan sebahagian (ahli dan penyokong) PKR terima dan sebahagian lagi tidak,” kata Abdul Hadi yang dipetik portal Utusan Malaysia Online sejurus selesai menyampaikan Kuliah Jumaat di Masjid Rusila dekat Marang hari ini.


Presiden PAS itu merujuk masalah dalaman PKR yang menyaksikan rasa tidak puas hati kumpulan yang diketuai timbalan presidennya, Mohamed Azmin Ali yang memulaukan semua mesyuarat parti yang dipengerusi oleh Anwar.

Perbalahan kedua-dua pemimpin itu dipercayai berkaitan dengan video seks yang didakwa membabitkan Azmin dengan penyokongnya mendakwa Anwar sebagai dalang di sebaliknya. Anwar walau bagaimanapun telah menafikan sebarang peranan dalam video itu.

Utusan juga melaporkan Abdul Hadi mengakui penolakan PAS terhadap Anwar sebagai perdana menteri adalah atas faktor kurang yakin dengan ketokohan pemimpin itu.

"Bagaimanapun terpulanglah kepada dia (Anwar), cita-cita dia (jadi perdana menteri) tak apalah.

“Dia dengan dia manakala kita pula dengan pendirian kita agar Tun (Dr Mahathir) terus pegang jawatan (PM) sampai habis penggal," katanya.

Terpalit masalah peribadi
 
Pemimpin PAS itu berkata demikian ketika diminta mengulas keyakinan Anwar sewaktu diwawancara Bloomberg kelmarin bahawa beliau optimis bakal menjadi perdana menteri Malaysia kelapan, tahun depan.

Abdul Hadi juga dipetik sebagai berkata, Dr Mahathir adalah pemimpin paling layak menggalas tanggungjawab itu dan bukannya diserahkan kepada mereka yang terpalit dengan masalah peribadi.
"Bukan pemimpin yang ada masalah peribadi, dengan sebab itulah pada kita biarlah Tun (Dr Mahathir) pimpin lagi (jadi perdana menteri).

“Biar beliau sendiri kendalikan urusan ini dan perlu seorang PM yang boleh diterima majoriti ahli parlimen,” kata Abdul Hadi.

Untuk rekod, Anwar pernah menghabiskan hampir satu dekad di penjara selepas didapati bersalah dalam kes liwat dan tuduhan rasuah yang dikenakan ke atasnya pada tahun 1998 dan sekali lagi pada tahun 2014.

Beliau sentiasa menegaskan dirinya tidak bersalah dan pendakwaan terhadapnya bermotifkan politik.

Anwar menerima pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan persekutuan pada pilihan raya umum Mei tahun lepas.

Mengikut konsensus dalam PH sebelum PRU14, Dr Mahathir akan menyerahkan teraju kepimpinan negara kepada Anwar. Namun tiada tempoh masa khusus dinyatakan.