Isnin, 18 Mac 2019

MCA kekal dalam BN


   
Jawatankuasa Pusat MCA hari ini mengumumkan bahawa parti mereka akan terus bersama BN untuk mengekalkan kerjasama pelbagai kaum.

Presiden MCA Wee Ka Siong yang mengumumkan perkara itu berkata, parti mereka berdepan dengan dua pilihan ketika membuat keputusan itu.

"Kita telah tiba di persimpangan jalan di mana kita hanya boleh memilih salah satu simpang.

Simpang pertama, MCA meninggalkan BN dan membiarkan kerjasama Umno-PAS menjadi rangka kerja untuk pembangkang, di mana pembangkang majoriti Melayu dilagakan dengan gabungan parti pemerintah yang pelbagai kaum.

"Simpang kedua, MCA kekal dalam BN dan mengukuhkan premis kerjasama pelbagai kaum, memastikan kepelbagaian kekal menjadi teras dalam pembangkang.

"Jawatankuasa Pusar MCA memilih untuk kekal dalam BN," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur.

Tambah Wee, MCA perlu cuba sedaya upaya memastikan kepelbagaian kaum dikekalkan dalam BN dan mengelakkan hubungan antara kaum terjejas.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa keputusan itu mungkin akan dianggap sebagai "tidak betul secara politik".

"Kami akui ia menjejaskan populariti kami. Namun MCA percaya bahawa untuk mencipta suasana politik yang demokratik, pelbagai dan moderat, ini adalah keputusan yang kami perlu buat.

"Akan ada pelbagai cabaran di hadapan, kami sedar perkara ini, namun kami sedia berdepan dengan penuh tabah," katanya.

Pada 2 Dis tahun lalu, perhimpunan agung MCA meluluskan usul untuk membubarkan BN.

Wee berkata usul itu dibentangkan pada mesyuarat majlis tertinggi BN pada 8 Mac lalu, namun tidak mencapai konsensus.

"MCA juga akui ia menggambarkan realiti gabungan politik yang suatu ketika ditubuhkan atas dasar kepelbagaian budaya untuk semua rakyat Malaysia," katanya.

Tiada ulasan: