Rabu, 27 Mac 2019

Mahkamah tolak penangguhan, kes SRC Najib bermula tak lama lagi


    Kes perbicaraan SRC International Sdn Bhd terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak dijangka bermula tidak lama lagi.

Ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini mendapati bahawa Mahkamah Rayuan yang mengeluarkan perintah membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sementara perbicaraan kes itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian.

Ketua Hakim Negara, Richard Malanjum, yang mengetuai tujuh hakim, menyampaikan keputusan mereka selepas mendengar hujah dari peguam Najib, Harvinderjit Singh dan Peguam Negara, Tommy Thomas, yang mengetuai pasukan pendakwa.

"Kami sebulat suara (mendapati) bahawa dalam perintah penangguhan prosiding oleh Mahkamah Rayuan, kami berpendapat bahawa mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa," katanya.

Malanjum berkata Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk mengketepikan keputusan Mahkamah Rayuan, dan menghantar kes itu semula ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 4 Julai 2018, Najib yang juga anggota Parlimen Pekan, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos 2018, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama dari dana serupa.

Tiada ulasan: