Isnin, 5 November 2018

Rasuah: Musa Aman dijangka berdepan 35 pertuduhan babitkan wang lebih RM250 juta


Musa akan berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 11(a) Akta 
Pencegahan Rasuah 1997.
 
KUALA LUMPUR: Bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman tiba di Mahkamah Jalan Duta, kira-kira 1.25 petang tadi diiringi ketat pegawai polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menghadapi pertuduhan atas kesalahan rasuah.

Hadir sama mengiringi Musa ialah peguam beliau, Amer Hamzah Arshad dan Ridha Abdah Subri.
Tinjauan FMT mendapat tidak ada penyokong Musa atau ahli Umno berada di pekarangan mahkamah.

Beliau dijangka berdepan 35 pertuduhan rasuah yang membabitkan wang kira-kira RM263 juta atau AS$63 juta.

Awal pagi tadi Musa ditahan SPRM berhubung siasatan rasuah, termasuk suapan untuk meluluskan konsesi balak.

“Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 2009,” kata sumber kepada FMT.

Menurut sumber, Musa akan berdepan beberapa pertuduhan di bawah Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997. Jika didapati bersalah, beliau boleh dipenjara dari 14 hari hingga 20 tahun dan didenda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Menurut sumber itu lagi, salah satu pertuduhan melibatkan pembayaran bernilai RM40 juta yang sepatutnya didepositkan di Hong Kong oleh pembantunya, Michael Chia Tien Foh.

Sebelum ini, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut berhadapan tindakan pendakwaan yang sama.

Najib berdepan 38 tuduhan pengubahan wang haram, salah guna kuasa dan pecah amanah melibatkan dana 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International.

Sementara itu, Zahid, yang kini merupakan presiden Umno, didakwa dengan 45 pertuduhan berkaitan pecah amanah, pengubahan wang haram dan rasuah.

Tiada ulasan: