Isnin, 16 Julai 2018

UEC: Maszlee cuba cari jalan keluar

Mohd Zaini Samsu Hadi
16072018_SIDANG-MEDIA01-681x454
Ketua Sekretariat Gerakan Pembela UMMAH, Aminuddin Yahya bercakap pada sidang media mengenai pengiktirafan Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC) di Ibu Pejabat Muafakat, Kuala Lumpur. foto MIRZA HASIM
 

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malek didakwa cuba mencari jalan keluar untuk melepaskan diri ekoran kenyataannya yang ‘berbeza-beza’ mengenai pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahya berkata, dalam tempoh dua hari sahaja, Maszlee telah mengeluarkan kenyataan yang berlainan berhubung perkara itu.

Malah katanya, kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam itu dianggap sebagai separa matang dan caca marba.

“Ini menampakkan menteri sendiri tidak stabil dalam keputusannya, mungkin disebabkan desakan rakyat. Jadi, kita tidak ambil ia sebagai satu kenyataan yang selesa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
16072018_SIDANG MEDIA02
Aminuddin Yahya
Semalam, Maszlee dalam satu kenyataan menegaskan bahawa pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) masih dalam peringkat kajian.

Menerusi kenyataan media itu, beliau memberi jaminan akan mengambil kira secara holistik terutama dalam menjaga kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Sekretariat Ummah, Kamaruzaman Mohamad berkata, tindakan Maszlee itu juga jelas menunjukkan beliau kini berada dalam keadaan kecelaruan dalam membuat kenyataan.

“Sekali umum diiktiraf, sekali umum akan dikaji, sekali umum ada dalam manifesto.

“Bagaimana keputusan yang sebegini penting hanya diputuskan dengan berfikir secara rambang. Ia perlu dibuat secara terperinci. Hari ini saya lihat kerajaan hendak membuat keputusan secara sambil lalu sahaja.

“Saya harap kerajaan perlu meneliti secara halus sebelum membuat dan mengeluarkan kenyataan secara umum untuk mengelak keresahan rakyat,” ujarnya.
16072018_SIDANG MEDIA04
Kamaruzaman Mohamad
Bagi tujuan itu jelas beliau, satu siri jelajah ke seluruh negara sebagai bantahan terhadap kerajaan berhubung perkara itu akan diadakan bermula pada 28 Julai ini.

Manakala, himpunan kemuncak pula turut akan dibuat dan tarikh mengenainya akan diberitahu kelak. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: