Ahad, 15 Julai 2018

Tindakan imigresen menanti Jho Low


Tindakan imigresen menanti Jho Low
Mustafar (kanan) ketika membuat lawatan di KLIA selepas proses Pra-Pelepasan Jemaaah Haji.
 
 
SEPANG - Tindakan undang-undang menanti ahli perniagaan kontroversi yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jho Taek Low atau Jho Low kerana dipercayai menggunakan pasport negara lain bagi menyembunyikan diri di luar negara.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, Malaysia tidak mengamalkan dua kerakyatan.

Menurutnya, adalah satu kesalahan kerana Jho Low memiliki kerakyatan negara lain.

“Jho Low dipercayai memiliki dua pasport iaitu Malaysia dan St Kitts and Nevis. Namun pasport Malaysianya telah dibatalkan pada 15 Jun lalu kerana ada beberapa tindakan yang perlu diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Jadi, dia (Jho Low) tidak boleh bergerak ke negara lain sekiranya dia menggunakan pasport Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, sebentar tadi.

Beliau menegaskan, pihaknya percaya Jho Low menggunakan nama asalnya di pasport keduanya St Kitts and Nevis.

“Apa juga kemungkinan kesalahan keimigresenan di bawah Akta Pasport dan Akta Imigresen 1959, maka kita akan teliti dan mengambil tindakan seperti kes Datuk Seri Jamal Md Yunos  kerana keluar negara tanpa melalui pintu yang sah,” katanya.

Ditanya lokasi terbaharu Jho Low selepas dipercayai meninggalkan Macau beberapa hari lalu, Mustafar berkata, pihaknya meneliti pelbagai kemungkinan dan sedang menjalin kerjasama dengan agensi lain termasuk Polis Antarabangsa (Interpol).

“Kita siap siaga dalam soal memberi kerjasama sebaik mungkin dalam memastikan keadilan ditegakkan dan inilah ketetapannya,” katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN : Jho Low tinggalkan Macau ]
[ ARTIKEL BERKAITAN : Jho Low lari ke Macau ]
[ ARTIKEL BERKAITAN : Jho Low dipercayai guna pasport Saint Kitts and Nevis ]

St Kitts and Nevis ialah negara kecil di kepulauan Caribbean dan dikenali sebagai lokasi membeli pasport di mana dengan bayaran AS$250,000 (RM1 juta), warga asing boleh membeli kewarganegaraan tanpa perlu tinggal di negara berkenaan.

St Kitts and Nevis yang secara rasminya dikenali sebagai Persekutuan St Christopher and Nevis, adalah negara pulau berkembar di lautan Caribbean, bercuaca tropika dan terkenal sebagai pusat peranginan dengan pemandangan indah.

Ia juga memperkenalkan konsep memperoleh kewarganegaraan menerusi pelaburan sejak 1984 di mana seseorang boleh memohon menjadi warganegara St Kitts and Nevis dengan menyumbang jumlah tertentu di bawah salah satu daripada 3 cabang pelaburan yang ditawarkan negara itu.

11 Julai lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan Ahli perniagaan kontroversi yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jho Taek Low atau Jho Low dipercayai telah meninggalkan Macau tanpa diketahui lokasi terbarunya.

Tiada ulasan: