KUALA TERENGGANU: Usaha menggandakan tarikan
pelancongan ke Terengganu akan terus dibina dengan anjakan yang
menaikkan perkhidmatan sektor itu dan imej negeri.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa
Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ustaz Sulaiman
Sulong berkata, usaha-usaha tersebut memerlukan dokongan para pemain di
sektor tersebut.
Menurutnya, dengan 'tagline'
"Indahnya Terengganu", jenama pelancongan negeri berpotensi besar
dimajukan menerusi layanan mesra, senyuman dan kebersihan yang
dipelihara.
Ketika sama ujarnya, setiap rungutan
perlu ditangani dengan tidak bersikap sambil lewa dan mengambil mudah
setiap orientasi perkhidmatan diberi termasuk rangkaian pemudahsampaian
dan prasarana.
Jelas beliau keselesaan pelancong
menjadi perkara utama mengekalkan tarikan tersebut, sekali gus janaan
sektor itu bakal menampal kekurangan ekonomi yang tidak menentu akibat
turun naik harga minyak.
Terdahulu sebelum ini perkara sama
telah dilontarkan beliau semasa Seminar Hala Tuju Baru Pelancongan
Negeri Terengganu di Marina & Resort Pulau Duyong, di sini 12 Julai
lalu.
"Kita percaya bahawa kini lebih
bersedia dinobatkan sebagai negeri pelancongan dengan keselesaan serta
1001 daya tarikan yang akan meninggalkan kenangan manis kepada pelancong
yang datang," ujarnya.
Beliau juga berharap peranan itu
didukung masyarakat negeri ini dengan menjadikan tempat awam sebagai
tanggungjawab bersama yang dijaga sebagaimana rumah sendiri. -HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan