Selasa, 10 Julai 2018

Tajuk berita portal mengenai Musa Aman tidak tepat

THE MALAYSIAN TIMES
 


KOTA KINABALU: Tajuk berita “ “Musa Aman Drops Suit Against Shafie: Former CM Ordered to Pay Costs” (Musa Aman gugurkan saman terhadap Shafie; Bekas CM diperintah bayar kos) yang diterbitkan hari ini oleh sebuah portal berita tempatan sangat mengelirukan dan tidak tepat, kata peguam bekas ketua menteri Sabah itu.

Dalam reaksi kepada tajuk berita itu ketua pasukan peguam kepada Musa, Tengku Fuad Tengku Ahmad berkata saman Musa terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal masih berjalan di mana Mahkamah Tinggi telah menetapkan 3 Sept ini bagi membuat keputusan mengenai permohonan Shafie membatalkan saman itu,

“Tajuk utama itu tidak tepat dan salah pernyataan. Pada 6 Jun, Musa memfailkan saman pemula terhadap Tun Juhar dan Shafie untuk mengisytiharkan antara lain bahawa Musa merupakan Ketua Menteri Sabah yang sah.

“Pada hari yang sama (6 Jun), Musa mengarahkan kami (pasukan perundangan) untuk tidak meneruskan saman awal terhadap Tun Juhar dan Shafie bertarikh 17 Mei.

“Untuk mengatakan Musa telah menggugurkan saman terhadap Shafie adalah jelas salah. Hakikatnya Musa masih meneruskan samannya terhadap TunJuhar dan Shafie menerusi saman pemula itu, kata Tengku Fuad dalam satu kenyataan.

Dalam isu kos, peguam itu menegaskan “adalah perkara biasa dalam prosiding Mahkamah Tinggi bagi plaintif yang tidak meneruskan writ untuk membuat tawaran bagi kos”.

“Tan Sri Musa membuat tawaran kos RM5,000 dan ini telah diterima sewajarnya dan diperintahkan oleh mahkamah. Portal itu seolah-olah cuba menangguk di air yang keruh. Ini sangat dikesalkan,” katanya.

Tengku Fuad berpendapat pada masa hadapan portal berita itu harus mempastikan ketetapan fakta sebelum menyiarkan tajuk berita yang mengelirikan dan tidak tepat kerana perbuatan itu bukan sahaja mendedahkan portal berita itu kepada tindakan undang-undang tetapi lebih buruk ia boleh mengelirukan orang ramai terhadap berita seperti mengenai kes Musa itu.– Bernama

Tiada ulasan: