Isnin, 23 Julai 2018

Saya dimaklumkan tentang ‘rumah Syiah’ aktivis, kata bekas SB

 
Bekas ketua Cawangan Khas Perlis, Awaluddin Jadid memberitahu inkuiri ke atas kehilangan Amri Che Mat bahawa beliau memaklumkan maklumat yang diterimanya tanpa menapis apa-apa.


Bekas ketua Cawangan Khas Polis Perlis Awaluddin Jadid berkata beliau mendapat maklumat mengenai aktiviti Syiah daripada pemberi maklumat media sosial.

KUALA LUMPUR: Bekas pegawai polis memberitahu inkuiri Suhakam ke atas kehilangan Amri Che Mat bahawa beliau memutuskan rumah aktivis terbabit merupakan pusat penyebaran ajaran Syiah berdasarkan maklumat diterimanya.

Bekas ketua Cawangan Khas (SB) Perlis, Awaluddin Jadid juga berkata beliau memberitahu Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainal Abidin tentang rumah Amri, tahun lepas.

“Saya memaklumkan apa yang disampaikan kepada saya, tetapi saya tidak menapis mana-mana maklumat,” katanya ketika diperiksa-balas oleh Nizam Bashir, peguam yang mewakili keluarga Amri.

Nizam merujuk kepada penyampaian PowerPoint mengenai Asri pada 2016. Awalauddin sebelum itu memberitahu inkuiri, adalah biasa bagi kakitangan Cawangan Khas menggunakan kaedah penyampaian PowerPoint dalam mesyuarat seperti yang digunakan ketika pertemuan dengan Asri pada 7 Oktober 2016, iaitu lebih sebulan sebelum Amri dilaporkan hilang.

Bercakap kepada inkuiri Suhakam, Awaluddin berkata beliau memperolehi maklumat mengenai aktiviti Syiah daripada medai sosial dan pemberi maklumat.

Ketika ditanya tentang pendirian Mufti Perlis apakah ajaran Syiah dianggap melampau, Awaluddin berkata, beliau bercakap tentang pelbagai aspek ekstremisme, termasuk Syiah.

“Apakah pendirian akhir beliau, saya tidak tahu,” katanya.

Ketika ditanya apakah ajaran Syiah merupakan satu bentuk ekstremisme, Awaluddin memetik fatwa kebangsaan yang melabelkannya sebagai ajaran sesat.

Awaluddin juga menolak kenyataan Nizam bahawa Perlis Hope, sebuah pertubuhan kebajikan yang dikendali oleh Amri, beroperasi mengikut undang-undang.

Amri dilaporkan hilang pada 24 November 2016. Isteri beliau sebelum ini memberitahu 5 buah kenderaan menghalang kereta Amri sebelum beliau dibawa pergi, kira-kira 500 meter dari rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis.

Inkuiri bersambung esok.

Tiada ulasan: