Rabu, 11 Julai 2018

Perkahwinan bawah umur di S'gor perlu kebenaran hakim sharie

MALAYSIAKINI

   

Perkahwinan melibatkan bawah umur di Selangor hanya boleh dilaksanakan sekiranya mendapat kelulusan dan kebenaran bertulis daripada hakim syarie di negeri ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata Selangor telah menetapkan umur minimum perkahwinan bagi lelaki adalah 18 tahun manakala perempuan 16 tahun.

“Permohonan bagi mendapat kebenaran untuk perkahwinan bawah umur tersebut perlu difailkan oleh ibu bapa atau penjaga dan kanak-kanak tersebut.

“Semasa pendengaran permohonan tersebut, hakim syarie akan mengarahkan kanak-kanak tersebut menjalani sesi kaunseling dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah berkaitan,” katanya dalam satu kenyatan semalam.

Beliau berkata ibu, bapa atau penjaga beragama Islam yang berhasrat melangsungkan perkahwinan anak-anak di bawah had umur juga dinasihat memastikan anak mereka bersedia dari segi fizikal dan mental.

Katanya dalam keadaan tertentu, mahkamah akan mengarahkan kanak-kanak tersebut menjalani pemeriksaan perubatan dikendalikan pegawai perubatan dan laporan perlu dikemukakan kepada mahkamah sebelum kebenaran berkahwin diberikan.

Mohammed Khusrin berkata hakim syarie juga berhak memanggil kanak-kanak terlibat untuk memberi keterangan secara berasingan tanpa kehadiran ibu bapa atau penjaga yang menjadi pemohon bagi memastikan tiada unsur paksaan dalam perkahwinan berkenaan.

“Berhubung isu perkahwinan kanak-kanak berumur 11 tahun di Selatan Thailand baru-baru ini, dalam konteks Selangor, peruntukan undang-undang yang menetapkan had umur minimum perkahwinan orang Islam telah diwujudkan sejak 1984.

“Sebarang perkahwinan bawah umur yang dilaksanakan mana-mana pihak tanpa kebenaran bertulis daripada hakim syarie merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 40 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003, yang mana pihak terbabit boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” kata beliau.
- Bernama


Tiada ulasan: