Jumaat, 20 Julai 2018

Penganggur didakwa bunuh pemilik bengkel kenderaan

Shuhada Abdul Kadir, Astro Awani
Penganggur didakwa bunuh pemilik bengkel kenderaan
Mahkamah menetapkan 3 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. - Astro AWANI/Shuhada Abdul Kadir
 
AYER KEROH: Seorang penganggur berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang pemilik bengkel kenderaan di Malim, minggu lalu.

Hasan Masala, 40 tahun, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.

Mengikut kertas pertuduhan, Hasan didakwa menyebabkan kematian ke atas Koo Kar Chung, 56 tahun, di sebuah bengkel membaiki motokar di Taman Malim Jaya, Melaka antara jam 7 hingga 7.30 pagi pada 8 Julai lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati dan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Muhamad Azri Zakaria.

Mahkamah menetapkan 3 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

8 Julai lalu, polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung penemuan seorang lelaki yang maut dengan kesan tikaman di leher.

Tiada ulasan: