Isnin, 16 Julai 2018

Menteri, timb menteri baru dijangka angkat sumpah esok

Kow Gah Chie & Norman Goh
 
   

Seorang menteri dan beberapa timbalan menteri dijangka mengangkat sumpah esok, menurut sumber parlimen.

Sumber itu memberitahu Malaysiakini bahawa lapan senator akan mengangkat sumpah di Dewan negara pagi esok.

Ia akan disusuli dengan angkat sumpah menteri dan timbalan menteri baru pada sebelah petang, di Istana Negara.

Sumber istana pula memberitahu Malaysiakini bahawa pihaknya menjangka sekurang-kurangnya seorang menteri dan tiga timbalan menteri di acara angkat sumpah itu tetapi senarai akhir masih belum diterima.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata baki kekosongan dalam kerajaan akan diisi oleh senator.

Tidak jelas berapa daripada lapan senator itu yang akan menyertai kerajaan.

Ada sekurang-kurangnya lima kekosongan pada masa ini.

Antaranya menteri di jabatan perdana menteri bertanggungjawab untuk perpaduan nasional serta timbalan menteri bagi kementerian pertahanan, hal ehwal ekonomi dan perumahan dan kerajaan tempatan.

Sebelum ini timbul spekulasi antara yang bakal menjadi timbalan menteri adalah Liew Chin Tong (DAP) dan Husam Musa (AMANAH).

Sumber AMANAH Kelantan berkata Husam dijangka diberi peranan berkaitan hal ehwal negeri Pantai Timur.

"Setakat yang saya tahu Husam sebelum ini menolak tawaran sebagai timbalan menteri," kata sumber itu dan menambah bekas naib presiden PAS itu mungkin akan ditempatkan di Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun Husam ketika dihubungi menafikan beliau merupakan antara yang akan mengangkat sumpah esok.

*Laporan tambahan oleh N Faizal Ghazali


Tiada ulasan: