Jumaat, 13 Julai 2018

Johari: PH perlu pastikan IPP tak jatuh ke tangan asing

 
Bekas menteri kewangan kedua itu berkata, ini boleh dielakkan jika kontrak baru ditawarkan melalui bidaan terbuka.


Johari Abdul Ghani berkata, pembida baru yang berjaya boleh mempunyai rakan usaha sama asing untuk menyediakan teknologi, tetapi rakan kongsi ini hanya patut memegang saham minoriti. (Gambar Bernama)


PETALING JAYA: Bekas menteri kewangan kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyokong langkah kerajaan membatalkan 4 kontrak baru pengeluar tenaga bebas (IPP) yang diluluskan kerajaan terdahulu.

Beliau berharap sebarang kontrak baru akan ditawarkan melalui bidaan terbuka.

Johari menasihatkan kerajaan baru mengkaji rekod prestasi dan pengalaman syarikat sebelum memberikan kontrak kepada mereka.

Bekas ahli Parlimen Titiwangsa itu berata, syarikat yang mempunyai IPP tidak patut mempunyai sebarang hubungan politik dan perlu memiliki pengalaman dalam bidang berkaitan.
Katanya, penting untuk memberikan kontrak kepada syarikat dengan rekod prestasi baik bagi mengelakkan IPP jatuh ke tangan asing, tetapi “sebuah syarikat tempatan baik yang berpengalaman mampu mengendalikan IPP sendiri”.

“Sebaik sahaja sebuah syarikat dilantik melalui bidaan terbuka, ia boleh mempunyai rakan usaha sama asing untuk menyediakan teknologi, tetapi rakan kongsi ini hanya patut memegang saham minoriti,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas pengumuman kerajaan Pakatan Harapan hari ini yang sedang mengkaji untuk membatalkan 4 kontrak baru IPP diluluskan kerajaan lama.

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin dilaporkan berkata, satu daripada IPP itu adalah syarikat senarai awam.

Katanya, 4 lagi kontrak IPP yang juga projek baru akan disemak semula untuk memastikan daya maju serta kos terbabit, tanpa sebarang kesan teknikal, kewangan dan undang-undang.

Pakar ekonomi, Dr Yeah Kim Leng dari Fakulti Perniagaan Universiti Sunway berkata, kebanyakan kontrak diberikan kerajaan Barisan Nasional adalah hasil rundingan terus.

Katanya, ini boleh menjadi salah satu alasan untuk membatalkan kontrak itu kerana ia membebankan kerajaan.

“Jika ada margin bekalan kuasa 30%, margin tambahan akan membebankan kerajaan.

“Sebahagian daripadanya terlalu mahal dan kerajaan mungkin mengkaji semula kontrak itu untuk menjimatkan kos.”

Tiada ulasan: