Selasa, 20 Disember 2016

Soi Lek mahu MCA lebih keras terhadap DAP

MALAYSIAKINI



Bekas Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bersetuju dengan desakan pemimpin Umno terhadap parti komponen BN untuk meningkatkan usaha memenangi pilihan raya.

Menurut Chua, para pemimpin MCA hari ini mesti bersikap agresif seperti ketika beliau menjadi presiden menentang DAP.

"(Apabila saya menjadi Presiden) saya amat keras pada DAP. Saya bahkan ajak Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berdebat. Ia tak pernah berlaku sebelum itu.

"Ia mendorong saya, seorang yang tidak fasih dalam bahasa Cina untuk mencabar mereka berdebat. Saya percaya saya lakukan perkara betul.

"Orang Cina mahu melihat pemimpin yang kuat. Kita mesti menjadi kuat," kata bekas menteri kesihatan itu kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Chua berkata demikian selepas diminta mengulas ucapan Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun semasa Perhimpunan Agung Umno pada awal bulan ini, yang menggesa parti-parti komponen BN mengambil risiko dan berdepan pembangkang.

Khairul Azwan juga menggesa masyarakat Cina memikirkan tentang sokongan mereka kepada DAP akan semakin memencilkan masyarakat itu di negara ini.

Sementara itu, Chua berkata pemimpin Umno harus mengelak daripada menuding jari kepada parti komponen BN atas prestasi buruk mereka pada pilihan raya umum lepas.

"Pemimpin-pemimpin Umno perlu memikirkan kenapa masyarakat Cina, yang dahulunya penyokong kuat BN, tiba-tiba memutuskan perubahan kerajaan adalah perlu pada 2008 dan 2013.

"Kamu tak boleh salahkan orang lain kerana tidak mengundi kamu. Kamu sebaliknya perlu muhasabah. Adakah ia masalah kita? Adakah kita penuhi apa yang rakyat mahu? Itu akan jadi pendekatan yang sesuai," katanya.

Tiada ulasan: