Sabtu, 24 Disember 2016

Selepas hotel ditutup, Jamal bantu polis serbu pusat judi

 
Ketua gerakan Baju Merah menekan Majlis Daerah Sabak Bernam supaya bertindak ke atas semua perniagaan haram


jamal_judi


PETALING JAYA: Ketua gerakan Baju Merah Datuk Jamal Yunos menekan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) supaya bertindak ke atas semua perniagaan tanpa lesen.

Sehari selepas hotel miliknya ditutup MDSB kerana beroperasi tanpa lesen, beliau bersama penyokongnya “menyerbu” sebuah pusat judi di Sekinchan yang didakwa beroperasi secara haram.

Jamal memberitahu Utusan terdapat 5 premis judi di Sekinchan dan 4 lagi di Sabak Bernam.

Jamal memberitahu NST Online polis bertindak atas aduan mereka dan menyerbu premis itu pada 7.00 malam semalam.

“Kami juga membuat aduan kepada MDSB tetapi tiada tindakan.

“Saya harap pihak majlis berlaku adil dengan mengambil tindakan terhadap semua perniagaan yang beroperasi secara haram, selepas mereka menutup hotel saya.”

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Nor Azmi Isa mengesahkan serbuan ke atas pusat hiburan keluarga itu.

Menurut beliau, premis berkenaan menyalahi lesen kerana menjalankan kegiatan judi haram. Polis berjaya merampas 48 mesin dalam operasi itu.

Azmi berkata polis akan menyiasat dakwaan Jamal mengenai pusat judi haram lain di Sabak Bernam.
 
Menurut beliau, pihak berkuasa tempatan hanya memberi lesen kepada 5 pusat hiburan keluarga di daerah itu.

Tiada ulasan: