Sabtu, 3 Disember 2016

Presiden PAS konsisten bangkit isu Rohingya di Parlimen


 
Oleh Dr Mohd Zuhdi Marzuki


Saya membaca kenyataan Ahli Parlimen (MP) Kuala Terengganu dari Parti Amanah Negara (PAN) yang mempertikaikan usaha NGO dan rakyat Maaysia untuk menganjurkan Himpunan Solidariti Rohingya yang turut menjemput pemimpin tertinggi negara hadir. MP Kuala Terengganu mempertikaikan mengapa usul tergempar yang dibawa beliau ditolak, tetapi kemudian dianjurkan pula himpunan seperti ini.

Sepatutnya mana-mana pihak tidak harus mempolitikkan isu ini. Pembelaan nasib saudara-saudara Islam Rohingya adalah tanggungjawab semua bukan untuk dijadikan satu isu politik untuk mempertikailan pihak lain dan mengangkat pihak sendiri. Tidak sepatutnya bila usul tergempar itu ditolak, maka pihak lain termasuk PAS dituduh tidak serius memperjuangkan isu masyarakat Rohingya ini.

Untuk pengetahuan MP Kuala Terengganu dan PAN, hampir setiap kali sesi parlimen bersidang sejak selepas Pilihan raya Umum (PRU) 2013, Presiden PAS akan bertanya soalan tentang isu Rohingya. Berikut saya senaraikan soalan-soalan yang telah ditanya oleh Presiden PAS yang juga MP Marang:

1. Sesi Jun 2013, soalan no 3 dari MP Marang yang diserahkan ke parlimen:

Minta Perdana Menteri untuk menjelaskan, Mengapa Malaysia tidak mengambil langkah-langkah yang berkesan bagi menyelesaikan tragedi pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya di Myanmar

2. Sesi Jun 2014, soalan no 8 dari MP Marang yang diserahkan ke parlimen:

Minta Menteri Luar untuk menjelaskan, adakah kerajaan Malaysia telah menggunakan kesempatan untuk membangkitkan isu berkaitan pembunuhan dan penindasan etnik Islam Rohingya, Myanmar, dalam mana-mana sesi semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke 24 yang berlangsung di Myanmar baru-baru ini?

3. Sesi Oktober 2014, soalan no 4 dari MP Marang yang diserahkan ke parlimen:

Minta Perdana Menteri untuk menjelaskan, apakah maklumbalas negara-negara anggota ASEAN terhadap pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya di Myanmar dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke 24 yang juga diadakan di Myanmar baru-baru ini?

4. Sesi Mac 2015, soalan no 2 dari MP Marang yang diserahkan ke parlimen:

Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang (Marang) minta Perdana Menteri menyatakan apakah usaha yang akan dilakukan oleh Kerajaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2015 dalam menyelesaikan isu umat Islam yang tertindas di Myanmar dan Selatan Thailand.

5. Sesi Oktober 2015, soalan 4 dari MP Marang yang diserahkan ke parlimen. (soalan ini telah dijawab secara lisan pada 20 Oktober 2015)

Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang (Marang) minta Menteri Luar Negeri menyatakan apakah pendirian dan langkah yang diambil oleh kerajaan untuk membantu pelarian Rohingya di Malaysia dan rakyat Rohingya di Arakan?

Berdasarkan soalan-soalan parlimen di atas, boleh dilihat hampir setiap kali parlimen bersidang sejak PRU 2013, Presiden PAS akan bertanya tentang pembelaan terhadap nasib umat Islam Rohingya. Malang sekali ada parti dan MP yang baru sekali bawa usul tentang Rohingya terus mendabik dada mereka juara, dan mempertikaikan pihak lain yang mahu bersolidariti untuk membela saudara-saudara kita di Arakan.

Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS

Tiada ulasan: