Ahad, 18 Disember 2016

Polis diminta siasat fitnah Guan Eng sokong keganasan Myanmar

  
 Roketkini.com


GEORGE TOWN: Pihak polis diminta agar segera menyiasat mesej viral di aplikasi Whatsapp yang memfitnah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai kononnya menyokong keganasan ke atas etnik Rohingya di Myanmar.

Pegawai Penerangan beliau, Zaidi Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Jalan Patani di sini, pagi tadi.

Menurut Zaidi, pihaknya telah memberikan nombor telefon dan nama penyebar kepada polis, justeru beliau percaya suspek yang dipercayai menyebarkan fitnah tersebut akan dapat dikesan segera.

Pegawai Penyelaras AES Pulau Pinang, Ab. Wahab Long dan Pegawai Penerangan Ketua Menteri, Zaidi Ahmad. Foto oleh Darwina Mohd Daud

“Saya harap tidak ada lagi alasan seperti sebelum ini yang mengatakan polis tidak cukup maklumat (untuk menyiasat),” ujarnya.

Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Agenda Ekonomi Saksama Pulau Pinang, Ab. Wahab Long yang turut hadir berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa fitnah terbaru itu adalah bagi mencemarkan lagi reputasi Guan Eng.

“Kita kesal dengan tindakan ini. Seperti kita tahu, Ketua Menteri sendiri meminta sebuah usul mengecam tindakan ganas rejim Myanmar ke atas Rohingya dibuat di sidang Dewan Undangan Negeri pada bulan lepas,” jelasnya.

Whatsapp fitnah yang diviralkan berkenaan menuduh Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP bersetuju dengan tindakan Aung Saan Suu Kyi terhadap kaum Rohingya, serta kononnya Malaysia tiada hak untuk campur tangan dan dianggap mencabul urusan negara Myanmar. – Roketkini.com

Tiada ulasan: