Ahad, 11 Disember 2016

Paras air Sungai Tembeling meningkat, kenderaan hampir hanyut

Oleh Bernama
 
 


Hujan sekejap-sekejap yang kadang kala lebat selama beberapa jam bermula jam 9 malam sehingga tengah malam tadi di kawasan Hulu Tembeling menyebabkan paras air Sungai Tembeling, Kuala Tahan naik mendadak hari ini.

Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Azid Ismail berkata, kejadian itu turut menyebabkan dua kenderaan, yang diletakkan berhampiran restoran terapung di sungai itu, ditenggelami air dan hampir dihanyutkan arus sungai.

"Dua kenderaan berkenaan iaitu sebuah van pelancong dan sebuah kereta dipercayai milik pelancong yang bermalam di sebuah resort di Taman Negara.

"Bagaimanapun, air Sungai Tembeling beransur-ansur surut pagi ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati pelancong dan pengunjung Taman Negara supaya meletakkan kenderaan di tempat yang disediakan untuk mengelak kejadian seumpama itu berlaku.

Sementara itu, pengusaha pelancongan yang juga Pengerusi 'Bird Group' Taman Negara Roslan Abu Kassim menyifatkan kejadian itu sebagai perkara biasa menjelang musim tengkujuh.

"Memang biasalah air sungai naik bila musim tengkujuh namun, tahun ini, ia meningkat ke paras paling tinggi yang pernah direkodkan," katanya yang menganggarkan air sungai berkenaan meningkat sehingga paras 5 meter berbanding biasa.

Menurutnya, sesetengah aktiviti pelancong sepanjang musim tengkujuh masih berjalan seperti biasa termasuk aktiviti 'canopy walk', trekking, bird watching dan melawat perkampungan Orang Asli.

Bagaimanapun, katanya aktiviti itu hanya terhad dilakukan berhampiran kawasan pusat operasi Taman Negara manakala aktiviti di kawasan lebih jauh di dalam hutan dihentikan sementara waktu selaras dengan arahan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri.

"Pengusaha pelancongan Taman Negara sentiasa mengadakan kerjasama dengan jabatan agensi kerajaan yang terlibat bagi memantau keadaan cuaca dan Sungai Tembeling dari masa ke semasa untuk keselamatan pelancong sepanjang musim tengkujuh ini," katanya. - MalaysiaGazette


Tiada ulasan: