Khamis, 15 Disember 2016

Anwar: "Pintu pembebasan belum tutup"

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak putus asa menuntut pembebasannya setelah Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonannya untuk mengenepikan pensabitan meliwat dan hukuman penjara lima tahun ke atasnya.
  
"Saya optimis. Ini bukan satu pengakhiran. Saya akan berbincang dengan pasukan peguam saya tentang tindakan seterusnya," Anwar memberitahu  pemberita.  
 
Mahkamah Persekutuan pagi tadi menolak usaha terakhir Anwar di bawah sistem kehakiman untuk mengenepikan sabitan meliwat dan hukuman penjara lima tahun ke atas beliau kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
 
Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang mempengerusikan panel lima anggota, berkata permohonan Anwar untuk semakan semula tidak mempunyai merit dan bukan kes yang layak untuk disemak semula oleh mahkamah.
 
Beliau juga berkata mahkamah mendapati tiada asas untuk menyokong dakwaan Anwar bahawa Pejabat Perdana Menteri telah campur tangan dalam keputusan panel hakim sebelum ini untuk mengekalkan sabitan dan hukuman penjaranya.
 
Dengan penghakiman hari ini, Anwar akan kekal di Penjara Sungai Buloh untuk menjalani hukuman penuh yang di tetapkan namun mengikut peraturan Jabatan Penjara bersabit kelakuan banduan, beliau boleh di bebaskan pada pertengahan 2018.
 
Anwar, 69 telah memfailkan permohonan semakan semula supaya Mahkamah Persekutuan menggunakan Peraturan 137 Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan 1995 dan menyemak semula keputusan panel lima anggota sebelum ini yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.
 
Secara alternatif, Anwar mahukan Mahkamah Persekutuan untuk mendengar semula rayuannya berdasarkan merit.
 
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari, 2015, mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac, 2014.
 
Pada 9 Januari, 2012, Mahkamah Tinggi membebaskan dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat.
 
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi dan mensabitkan Anwar selepas membenarkan rayuan pendakwaan.
 
Anwar di dapati bersalah melakukan kesalahan itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
 
 

Tiada ulasan: