Selasa, 20 Disember 2016

Amanah gabung PKR tidak berbangkit, kata Salahuddin

MALAYSIA DATELINE

Salahuddin AyubSalahuddin Ayub
Isu penggabungan Parti Amanah Negara (Amanah) dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak berbangkit sama sekali kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.
 Beliau dalam satu kenyataan berkata, apa yang penting ialah parti-parti dalam gabungan Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan melawan Barisan Nasional (BN).

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan sejawat saya, Mohamed Azmin yang melahirkan pandangan mengenai idea perlunya pergabungan antara Amanah dengan PKR.

“Untuk pengetahuan semua, Amanah tampil bagi mengisi posisi serta melanjutkan perjuangan lslam yang mengambil pendekatan inklusif dan progresif untuk bersama mensejahterakan rakyat serta dalam rangka membangunkan semula negara,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Semalam Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kenyataan media di Shah Alam dilaporkan berkata, cadangan penggabungan dua parti itu wajar dipertimbangkan, tetapi bukan atas dasar perebutan kerusi.

Katanya, ia perlu diteliti kerana melibatkan soal kedinamikan parti dan sesebuah pertubuhan yang demokratik perlu bersikap terbuka.

Menurut Salahuddin, sekarang ini dengan kehadiran PPBM telah menjadikan Amanah dan semua parti dalam Pakatan Harapan semakin penting dalam usaha untuk menumbangkan BN.

“Saya yang mewakili pimpinan dan ahli Amanah merasakan isu ini tidak berbangkit sama sekali dan mengucapkan terima kasih serta mengharapkan hubungan yang kukuh antara kita akan kekal seutuhnya,” ujar beliau.

Isu berkaitan gabungan Amanah dalam PKR ini mula diperkatakan apabila didedahkan oleh Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin yang dilaporkan Malaysiakini, mencadangkan penggabungan partinya dan Amanah.

Beliau dipetik berkata memandangkan kedua-dua parti berkongsi nilai sama, termasuk pandangan mereka terhadap Islam yang sederhana.

Afif berkata idea itu timbul dalam mesyuarat dalaman PKR dan ramai pihak bersedia menerokai kemungkinan untuk cadangan itu, perkara itu kemudiannya diperjelaskan Azmin apabila hal itu diajukan media.

Artikel Berkaitan:  Amanah sudahpun bergabung dengan PKR dalam PH, kata KP Amanah

Tiada ulasan: