Selasa, 16 Ogos 2016

PAS yakin sistem kehakiman England siasat Sarawak Report

ANTARAPOS.COM


Post Pic
KUALA LUMPUR: PAS yakin badan kehakiman England akan menjalankan tanggungjawabnya dengan telus berkaitan samannya terhadap Sarawak Report, kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Abdul Hadi berkata pihaknya akan tetap mengemukakan saman terhadap portal berkenaan dan ia bukanlah satu perkara baru bagi parti Islam itu bekerjasama dengan peguam dari luar negara.
“Kita yakin dan hormat ketelusan kehakiman di sana dan kami pernah menggunakan khidmat peguam luar bagi menyelesaikan kes sebelum ini.
“Buat masa ini kita sedang meneliti beberapa perkara untuk urusan saman yang dikendalikan sepenuhnya oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan,” katanya.
Minggu lalu, PAS membidas Sarawak Report selepas laman pemberi maklumat itu mendakwa parti itu menerima RM90 juta daripada Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak agar menjauhkan diri daripada gabungan pembangkang.
Parti itu mendakwa artikel tersebut berniat jahat dan mencemar nama baik serta dasar Islam yang diperjuangkannya.
Sarawak Report yang berpangkalan di London dikendalikan oleh Claire Rewcastle-Brown, yang didakwa Najib adalah sebahagian daripada konspirator untuk menggulingkan beliau daripada kuasa.
Laman web ini memainkan peranan penting dalam mendedahkan dakwaan salah guna 1MDB dan RM2.6 bilion dalam akaun peribadi perdana menteri.
Najib menafikan menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi dan namanya dibersihkan daripada sebarang salah laku oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali.
Bagaimanapun, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) baru-baru ini memulakan tindakan undang-undang untuk merampas aset yang didakwa diperolehi dengan dana yang disalahgunakan daripada 1MDB.

Tiada ulasan: