Selasa, 16 Ogos 2016

PKR Pulau Pinang gesa parti tolak kerjasama dengan BERSATU

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PKR Pulau Pinang Cabang Balik Pulau hari ini menyeru agar kepimpinan parti itu menolak untuk menjalinkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) yang mengamalkan diskriminasi kaum.
 
Ketua Cabang PKR Balik Pulau Datuk Abdul Halim Hussain berkata, penubuhan parti itu nyata tidak selari dengan pegangan PKR yang mengiktiraf kepelbagaian kaum di negara ini.
 
Malah sekiranya PKR memilih untuk bekerjasama dengan BERSATU, maka langkah itu akan memberi kesan kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
"Jika parti ini (BERSATU) diterima dalam PH atau diterima sebagai rakan PKR maka ia memberi isyarat PKR mengiktiraf diskriminasi kaum dan ia bakal menjadi beban kepada kita khususnya bila berdepan pilihanraya, selama ini PKR diterima sangat baik di kawasan campuran tetapi dengan mengiktiraf parti perkauman ini pasti memberi kesan pada tapak sokongan PKR itu sendiri," katanya dalam satu kenyataan.
 
Jelasnya lagi, PKR seharusnya terus berpegang kepada prinsip reformasi yang menjadi asas penubuhan parti berkenaan tanpa perlu berkompromi dengan mana-mana parti yang tidak menghormati konsep keterbukaan yang diamalkan.
 
"Dalam Perlembagaan Negara, Perkara 10 (c) dengan jelas mengatakan semua rakyat Malaysia punya hak yang sama untuk berpesatuan. Maka sudah tentu menjadi hak asasi yang dibolehkan bagi Tun Dr. Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin untuk menubuhkan apa juga parti. Untuk itu kita perlu hormati dan raikan demokrasi lahirnya parti Pribumi.
 
"Namun dari segi prinsipnya untuk menjalinkan kerjasama dengan mana – mana parti atau pertubuhan sekali pun PKR seharusnya berpegang pada prinsip asas reformasi," katanya. 
 
BERSATU yang didaftarkan pada 9 Ogos lalu sebuah parti politik di Malaysia yang dipimpin oleh Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 
Parti itu kini dianggap sebagai parti nasionalisme Melayu selepas Mahathir meninggalkan Umno dan Muhyiddin pula dipecat.
 
Bersandarkan itu, Abdul Halim berkata penubuhan BERSATU adalah sama seperti Umno yang bertunjangkan Melayu di mana hanya kaum Melayu yang boleh memegang jawatan dan kaum bukan Melayu hanya akan menjadi ahli bersekutu.
 
"Parti ini sangat jelas perkauman dari Umno itu sendiri. Parti ini membuka keahlian kepada semua kaum tetapi hanya Melayu sahaja boleh memegang jawatan atau mengundi. Adakah bukan melayu hanya layak menjadi tukang sorak.
 
"Mahathir yang kita yakinkan rakyat bahawa dia Mahafiraun, perompak negara tiba – tiba bila dia ketuai sebuah parti lain kita terima dan angkat dia sebagai pemimpin," soal Abdul Halim.
 
Justeru kenyataan Abdul Halim ini nyata tidak menepati kata-kata Presiden PKR Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di mana parti itu terbuka dan sedia bekerjasama BERSATU.
 
 

Tiada ulasan: