Selasa, 5 Julai 2016

Usul keempat Pandikar bukan ditolak tapi ditangguhkan, kata Azalina Othman

Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Usul keempat yang dibuat Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk memperkasakan Parlimen bukannya ditolak tetapi ditangguhkan, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.
 
Usul keempat itu adalah penubuhan Jawatankuasa Pemilihan yang dianggotai (wakil rakyat) BN dan pembangkang untuk membincang dan meneliti rang undang-undang (RUU).
 
"Jawatankuasa itu bukan ditolak tetapi ditangguhkan, saya selaku menteri yang bertanggungjawab telah mengadakan lawatan ke Australia dan Kanada bagi mengkaji dan membuat perbandingan berhubung penubuhan Jawatankuasa Pemilihan. 
 
"Saya juga dijangka akan ke United Kingdom  bagi tujuan yang sama," ujarnya menerusi emel kepada Antarapos.
 
Pandikar sebelum ini mengejutkan banyak pihak selepas mengumumkan peletakan jawatannya sebagai speaker namun menarik balik surat rasminya selepas yakin dengan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bersetuju untuk melakukan pemerkasaan Parlimen.
 
Azalina dalam reaksinya menyatakan penghargaannya kepada Pandikar kerana mengilhamkan reformasi dan menjadi speaker yang berkesan dalam menaiktaraf mutu dan kualiti Dewan Rakyat.
 
Ia berikutan tindakan Pandikar mengusulkan empat cadangan untuk menambahbaik institusi itu agar tidak lagi diperlekehkan mana-mana pihak dan dilihat bebas daripada campurtangan kerajaan.
 
Kerajaan sebelum ini mengumumkan meluluskan tiga daripada empat usul yang dikemukakan Pandikar.
 
Usul berkenaan adalah Pindaan bersabit pertanyaan-pertanyaan jawab lisan dipercayai membabitkan tambahan 30 minit diberikan kepada menteri-menteri bagi menjawab soalan-soalan sesama ahli Parlimen.
 
Selain itu, pewujudan Kamar Khas (Special Chamber) iaitu penubuhan Dewan kedua (atau) satu Parlimen mini.
 
Pandikar sebelum ini memberitahu pewujudan kamar ini penting bagi membolehkan ahli Parlimen mengemukakan isu yang tertakluk di bawah Peraturan Mesyuarat Perkara 18 bagi mengelakkan pembaziran masa dan setia persoalan (yang dikemukakan) dijawab.
 
Kerajaan juga meluluskan usul untuk mewujudkan Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri merujuk kepada tempoh masa untuk ahli Parlimen mengemukakan soalan bagi sesi jawapan lisan yang sebelum ini diperuntukan 10 hari telah dilanjut kepada 14 hari.
 
"Kerajaan dari dahulu begitu komited untuk menambah baik perjalanan Parlimen, sebab itu kita menyokong Reformasi Parlimen tersebut.  
 
"Kerjasama antara kerajaan dan pembangkang juga sudah berlaku seperti dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Jawatankuasa Dewan, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan lain-lain," kata Azalina.
 
Azalina dalam pada itu menyatakan beliau berpuas hati dengan standart perbahasan di Parlimen buat masa ini.
 
"Setakat ini perbahasan berjalan dengan baik. Bagaimanapun, adakalanya saya sedikit kesal apabila ada diantara ahli-ahli Parlimen yang salah guna ruang perbahasan dengan membuat serangan-serangan yang tidak berasas.  
 
"Reformasi Parlimen sudah bermula pada penggal yang lalu dengan memasukkan beberapa elemen baru yang mana memberi lebih banyak ruang untuk ahli-ahli parlimen membawa isu-isu rakyat. Bagaimanapun saya berharap ruang  itu digunakan dengan baik supaya tidak membazir masa," ujarnya.
 
Azalina dilantik menjadi menteri yang menyelia perjalanan Dewan Rakyat pada Julai 2015.
 
Terdahulu, Azalina memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan pada 2004 hingga 2008 dan Menteri Pelancongan pada 2008 hingga awal 2010.
 
 

Tiada ulasan: