Ahad, 3 Julai 2016

Persiapan raya sembilan keluarga musnah terbakar

SINAR HARIAN
Kebakaran


KUALA LUMPUR - Persiapan sembilan keluarga untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri musnah selepas rumah yang didiami mereka di Kampung Pandan Dalam, Ampang musnah dalam kebakaran di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang tadi, enam buah rumah kampung yang mempunyai sembilan pintu itu musnah dijilat api.

Menceritakan detik cemas itu, mangsa Siti Safura Mokhtar, 55, berkata ketika kejadian beliau baharu selesai menunaikan solat Zohor sebelum mendengar bunyi letupan kuat bersebelahan dengan rumahnya.

"Apabila saya keluar dari bilik, saya dapati ruang tamu sudah dipenuhi asap. Saya hanya sempat menyelamatkan dokumen penting seperti kad pengenalan, lesen memandu dan sijil nikah...seluruh persiapan raya seperti baju musnah sepenuhnya," katanya ketika ditemui di sini.

Seorang lagi mangsa, Sharifah Aminah Syed Hani, 50, berkata beliau bersama anaknya sedang dalam perjalanan ke pasar raya berdekatan bagi membeli barangan dapur untuk persiapan hari raya sebelum menerima panggilan daripada jiran tentang kebakaran itu. 

"Apabila sampai di rumah saya tengok pasukan bomba tengah padamkan kebakaran...semua dah hangus, tak sempat nak selamatkan apa-apa," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah, Skein Citbanchong Wee San berkata pihaknya tiba di tempat kejadian kira-kira 3.30 petang dengan kekuatan 33 anggota.

Beliau berkata sebanyak enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan, Keramat, Pudu dan Hang Tuah dihantar bagi memadamkan kebakaran berkenaan.

"Api marak dengan cepat kerana keadaan rumah yang dibina daripada kayu," katanya.

Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan serta tiada kemalangan jiwa dilaporkan, katanya. - Bernama


Tiada ulasan: